Segerakan Tubuh RCI Siasat Penjualan Aset, Kerugian Tabung Haji

77

22 JUN: Segerakan tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat penjualan aset dan kerugian dialami Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) selama 22 bulan Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

Gesaan itu dibuat Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki yang mahu Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menubuhkan suruhanjaya tersebut.

Menurut beliau, rakyat berhak mendapat penjelasan yang tuntas dan telus mengenai pelbagai tuduhan penyelewengan digembar-gemburkan PH sebelum ini.

“Bermula dengan pelbagai tuduhan penyelewengan berlaku dalam Tabung Haji yang sehingga kini tiada satu pun didakwa ke muka pengadilan.

“Sehinggalah pelbagai isu menyentuh hati rakyat termasuklah ura-ura pengurangan subsidi buat jemaah Haji atas justifikasi konsep Istitoah oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Asyraf berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mujahid semalam menyokong penuh cadanga menubuhkan RCI bagi menyiasat penjualan aset milik Tabung Haji pada zaman pemerintahan PH.

Mujahid yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu bersedia disiasat oleh RCI tersebut jika terdapat bukti kukuh mengenai pembabitannya dalam urusan penjualan dan lelongan aset milik Tabung Haji ketika memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Asyraf menambah, isu jualan lambak ke atas 76.2 peratus ladang milik TH Plantations berkeluasan 101,000 hektar menjadi hanya 24,000 hektar dengan kaedah begitu meragukan juga membangkitkan keresahan 9.4 juta pendeposit dalam kalangan umat Islam.

“Ini tidak termasuk aset-aset lain Tabung Haji bernilai RM10 bilion yang sudah terjual kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jemaah Sdn. Bhd.,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, antara berkenaan termasuklah tanah TRX bernilai RM400 juta dan hotel Tabung Haji di seluruh negara yang selama ini banyak menyumbang kepada perolehan agensi tersebut.

Beliau berkata, pendedahan terbaharu surat Tabung Haji oleh Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jelas menunjukkan bahawa Menteri Agama waktu itu telah meluluskan hak perlucutan pertama ( First Right of Refusal) terhadap pembelian semula 18 aset hartanah Tabung Haji yang telah dipindahkan ke UJSB, jelas mencetuskan keresahan rakyat.

“Harus diingat Tabung Haji adalah institusi yang cukup bernilai di hati rakyat Malaysia. Sebelum PH memerintah, Tabung Haji tidak pernah gagal dalam merealisasikan matlamat penubuhannya yang bukan sahaja menguruskan segala keperluan urusan dan hal ehwal kebajikan jemaah haji, tetapi juga menjana ekonomi umat Islam.

“Kecemerlangan Tabung Haji sebelum ini bukan sahaja diiktiraf oleh dunia malah prestasi kewangan memberangsangkan setiap tahun membolehkan pendeposit berkongsi hibah dan bonus setiap tahun secara purata tidak kurang daripada 6.25 peratus selepas ditolak zakat 2.5 peratus.

“Sebab itu apabila pelbagai tuduhan penyelewengan, skandal, defisit yang melanda secara tiba-tiba sejurus selepas PH memerintah mencetuskan pelbagai tanda tanya dan polemik berterusan,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan gesaan penubuhan RCI itu bagi mengembalikan keyakinan pendeposit dan pelabur institusi terulung umat Islam terus terpelihara. – HAIKA GHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.