Perbincangan RMK-12 selesai sebelum sidang Dewan Rakyat

44

22 JUN: Sesi libat urus untuk membincangkan penambahbaikan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melibatkan kerajaan negeri, kementerian dan agensi berkaitan dijangka selesai sebelum sidang Dewan Rakyat bermula pertengahan Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sesi berkenaan yang dijangka selesai dalam masa dua tiga minggu lagi, diadakan bagi memberi peluang pihak terlibat mengemukakan permohonan selain mengambil kira perubahan radikal landskap ekonomi ketika ini.

“Penambahbaikan itu bermaksud memulakan terus libat urus dengan pihak berkenaan selain mengambil kira aspek COVID-19 serta strategi (baharu) berikutan perubahan landskap ekonomi.

“Sebagai contoh, jika dulu ekonomi digital, ekonomi gig ini tak besar sangat, jadi (kita jangka kesannya terhadap) landskap ekonomi akan berubah,” katanya mengulas perkembangan mengenai perubahan RMK-12.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat mengenai status Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru di Stesen Keretapi Tanah Melayu Kulai, di Johor, semalam.

Mustapa berkata, beliau turut bertemu dengan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad bagi membincangkan permohonan kerajaan negeri berhubung peruntukan RMK-12.

“Kita (kerajaan) juga telah perkenal beberapa langkah-langkah jangka pendek seperti Penjana (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara). Pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU) juga sedang merancang pelan ekonomi jangka panjang yang akan terangkum dalam RMK-12.

“Ini termasuklah perubahan perlu kita lakukan supaya ekonomi Malaysia kukuh kembali,” jelasnya.

Mengulas persetujuan Singapura membincangkan pembukaan sempadan, beliau berkata perkara itu turut disentuh dalam pelbagai platform termasuk Majlis Tindakan Ekonomi.

“Ini termasuk cadangan mengenai gelembung perjalanan yang diumumkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri (Menteri Kanan Kluster Keselamatan) baru-baru ini dan berdasarkan perbincangan itu.

“Dalam pertemuan dengan Menteri Besar Johor hari ini, beliau turut menyokongnya kerana pelancongan adalah sektor penting untuk Johor serta negeri lain seperti Melaka, Pulau Pinang, Langkawi,” katanya.

Terdahulu, pada sesi berlainan, Mustapa diberi taklimat oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) serta melawat infrastruktur bagi penganjuran Sukan Malaysia (Sukma 2020) termasuk Velodrom Johor untuk sukan basikal di Iskandar Puteri.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.