Penguatkuasaan Bahasa Melayu Perlu Diperhebat

168

22 JUN: Draf pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang memberi kuasa DBP menguatkuasakan undang-undang berkaitan penggunaan bahasa Melayu dijangka akan dibawa ke Kabinet untuk kelulusan sebelum dibentangkan di Parlimen.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan berkata, aspek penguatkuasaan penting bagi memelihara martabat serta pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kerana amat berkait rapat dengan jati diri sesebuah negara.

Menurut laporan BERNAMA, beliau berkata, pembudayaan bahasa itu dalam kalangan masyarakat berdepan cabaran hebat sekiranya usaha penguatkuasaan terhadap penggunaan bahasa kebangsaan tersebut tidak dilakukan.

“Dalam konteks bahasa Melayu di Malaysia, kita harus faham walaupun namanya bahasa Melayu namun ia bukanlah untuk keturunan Melayu semata-mata. Bahasa Melayu telah diangkat menjadi bahasa negara yang rasmi.

“Semua warganegara Malaysia tidak kira bangsa Cina, India, Kadazan, Murut, orang Sungai, orang Asal dan sebagainya harus melihat bahasa Melayu itu sebagai milik bersama,” katanya kepada BERNAMA.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Ulang Tahun DBP ke-64 di Menara DBP hari ini.

Awang menambah, Perlembagaan Persekutuan membuka ruang besar untuk penggunaan dan pembelajaran bahasa lain tetapi dalam segala urusan, bahasa Melayu wajib digunakan kerana ia adalah bahasa utama termaktub dalam Perlembagaan negara.

“DBP perlu dihormati sebagai benteng peradaban negara. Untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya digunakan secara meluas, dalam segala maksud mengikut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Bahasa Melayu belum betul-betul diangkat sebagai bahasa cerminan jati diri negara dalam majlis rasmi, mesyuarat dan pelbagai acara lain jika multilingualisme (pelbagai bahasa) menjadi keselesaan selain membuktikan pembudayaan bahasa negara yang belum utuh,” katanya.

Awang berkata pembudayaan bahasa kebangsaan dengan hanya secara pendekatan ‘dakwah’ melalui gerakan ‘menegur dan menasihati’ seperti diperuntukkan dalam Akta DBP 1959 ketika ini perlu diubah agar DBP punyai ‘punca kuasa’ mengambil tindakan terhadap pihak tidak menghormati bahasa kebangsaan.

“Adalah tidak wajar jika masih ada rakyat yang tidak mampu menguasai bahasa Melayu. Penguatkuasaan mungkin perlu seperti ujian kelayakan kecekapan bahasa bagi mendorong rakyat menguasainya dengan pemahaman serta keupayaan mengucapkannya dalam bahasa rasmi itu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.