Pelaksanaan BPET tidak jejas operasi TNB

41

22 JUN: Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan (BPET) yang diumumkan kerajaan Sabtu lalu tidak akan memberi kesan terhadap operasi dan perkhidmatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam menyediakan bekalan elektrik kepada pengguna.

Jaminan itu diberikan oleh Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang berkata, walaupun bantuan itu merangkumi pemberian elektrik percuma selama tiga bulan kepada empat juta pengguna, semua perkara terutamanya penyelenggaraan infrastruktur TNB beroperasi seperti biasa.

“Ini adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan dan TNB, jadi tidak akan menyebabkan permasalahan kepada TNB, maknanya demi kemudahan untuk rakyat, segala perkara, untuk sambung, baiki, selenggara semua berjalan seperti biasa,” katanya.

MAHDZIR KHALID

Sementara itu, Mahdzir memberitahu, TNB akan mempergiatkan sesi penerangan kepada pengguna mengenai BPET selain memberi pemahaman mengenai kaedah bacaan meter yang dilakukan ketika ini.

“Pengguna boleh mendapatkan maklumat itu menerusi kedai-kedai TNB atau menghubungi terus talian khidmat pelanggan TNB selain kita membuat hebahan melalui media, maknanya TNB mengambil tanggungjawab sepenuhnya memberi penerangan kepada pelanggan kalau mereka tidak memahami pasal pengiraan,” jelasnya.

Sabtu lalu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan, seramai empat juta atau 52.2 peratus pengguna domestik dengan bil elektrik sebulan kurang RM77 atau penggunaan bawah 300kWj, akan menikmati bekalan elektrik percuma selama tiga bulan di bawah bantuan itu.

Pengguna terbabit akan menerima bekalan elektrik percuma bagi bulan April, Mei dan Jun yang akan dikreditkan dalam bil Julai.

Manakala, [engguna domestik yang menggunakan elektrik melebihi 300kWj pula akan menerima potongan bil elektrik sebanyak RM231 iaitu RM77 sebulan bagi April, Mei dan Jun.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.