‘Najib sudah pulangkan, mengapa tidak diambil kira’

180

22 JUN: Sebahagian derma sebanyak AS$620 juta yang disumbangkan Arab Saudi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak telah dipulangkan sejurus selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 2013.

Menurut laporan portal Malaysia Gazette, Peguam bela bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bagaimanapun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) gagal mengambil kira pemulangan dana itu ketika saman tuntutan cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion dikemukakan terhadap Najib.

Soal Shafee di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache, LHDN sebenarnya bertindak dalam keadaan tergesa-gesa kerana mahu mendapatkan penghakiman terhadap Najib.

Katanya, saman yang difailkan agensi itu bukannya kes yang boleh terus dilakukan penghakiman, sebaliknya ia memerlukan pendengaran penuh dalam mahkamah terlebih dahulu.

“Selepas PRU-13, Najib telah memutuskan untuk memulangkan kembali wang sebanyak AS$620 juta kepada penyumbangnya. Jumlah itu juga tidak termasuk dalam perhitungan LHDN.

“Bagaimana ini boleh berlaku? Malah ada bukti paper trail berhubung pemulangan dana ini. Juga Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri telah berikan kebenaran untuk pemindahan tersebut,” katanya.

Sebelum ini, ketika perbicaraan SRC International, bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi mendedahkan Najib telah memulangkan kembali dana sebanyak AS$620 juta daripada AS$681 juta yang telah masuk ke dalam akaun peribadi bekas Presiden UMNO itu.

Najib ketika membela diri memberitahu mahkamah bahawa beliau telah memulangkan dana tersebut kepada Arab Saudi dua bulan selepas PRU-13.

Pada 28 Februari lalu, mahkamah menolak permohonan Najib bagi menangguhkan prosiding saman LHDN terhadapnya untuk membayar cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion sementara menunggu rayuan berhubung taksiran cukai kepada lembaga tersebut.

Pada 8 Ogos lepas, Najib memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding saman oleh LHDN, namun LHDN dalam afidavit sokongannya berkata, Najib masih perlu membayar jumlah RM1.69 bilion itu walaupun beliau telah memfailkan rayuan berhubung taksiran cukai itu.

LHDN mendakwa Najib gagal membayar cukai pendapatan antara 2011 hingga 2017 dalam masa 30 hari selepas notis taksiran dikeluarkan dengan jumlah yang perlu dibayar naik sebanyak 10 peratus setiap tahun.

Najib telah diberi masa selama 60 hari untuk membuat bayaran cukai serta 10 peratus kenaikannya tetapi gagal berbuat demikian, dakwa LHDN.

Justeru itu, Najib dikenakan tambahan lima peratus kenaikan, menjadikan jumlah keseluruhan cukai pendapatannya berjumlah RM1,692,872,924.83

Hakim kemudian bertindak menangguhkan keputusan permohonan LHDN bagi mendapatkan penghakiman terus dalam saman tuntutan cukai itu selepas mendengar pendakwaan dan pembelaan selama hampir lebih dua jam.

Ahmad Bache berkata, beliau memerlukan sekurang-kurangnya masa sehingga sebulan bagi meneliti hujah kedua-dua pihak serta fakta yang sedia ada sebelum membuat penghakiman.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.