Memang Tepat pilih Mohd. Sharim – Masyarakat Orang Asli

78

22 JUN: “Memang tepat. Kita di sini (Kampung Gumum, Chini) amat mengalu-alukan. Tunggu masa untuk mengundi sahaja.”

Itu reaksi masyarakat Orang Asli yang menyambut baik Pemilihan calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Sharim Md. Zain dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Menurut seorang pemimpin masyarakat Orang Asli Kampung Gumum, Din Husin, 63, dia melihat Mohd. Sharim layak menggantikan Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada Mei lalu.

“Bagi saya setakat ini dah tengok latar belakang dia, kita menerima sangatlah dia sebagai calon. Dia anak muda lagi 41 tahun, amat mengharapkan,” katanya seperti dilaporkan portal UMNO Online.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Abu Bakar pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana serangan jantung.

SPR menetapkan hari pengundian biasa pada 4 Julai manakala pengundian awal pada 30 Jun ini yang melibatkan seramai 20,990 orang pengundi.

Pemilihan Mohd. Sharim oleh Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang lebih dikenali sebagai ‘Bossku’, Din berkata, masyarakat di sini menyambut baik calon tersebut.

“Kita sudah bagi penerangan. Sekarang ini yang buat pilihan adalah Datuk Seri ‘Bossku’. Beliau hantar bukan Bebas ker… PKR ker… dia hantar Barisan (BN) juga, jadi apa lagi kita hendak?

“Mana tahu akan datang mendatangkan kebaikan. Esok beliau bagi sesuatu manfaat kepada Kampung Gumum ker… kita kata Alhamdulillah,” ujarnya lagi.

Harapan Din kepada Mohd. Sharim sekiranya memenangi kerusi tersebut supaya tetap menjaga kebajikan dan kepentingan masyarakat Orang Asli yang mampu berdaya saing dengan masyarakat lain.

Bagi Ketua UMNO Cawangan Kampung Ulu Gumum, Kuyu Mat, 63, tidak timbul soal Mohd Sharim bukan anak kelahiran Chini kerana selain tidak menawarkan diri, pucuk pimpinan mencalonkannya atas rekod perkhidmatan kepada masyarakat.

“Memang sesuai bagi saya sebab walaupun anak luar tetapi bermastautin di sini. Dia bukan minta (jadi calon) tetapi orang yang mencalonkannya, dari Menteri Besar dan Datuk Seri Najib.

“Dia juga pernah berjuang bersama dengan Datuk Abu Bakar, saya rasa dia akan tahu apa masalah Orang Asli. Mesra macam Allahyarham Abu Bakar. Saya harap ia akan berterusan. Kita masyarakat di sini memang tetap dengan BN. Yang penting kita mahukan BN menang,” katanya.

Begitu juga penggiat masyarakat, Hayati Kuyu, 42, yang menyokong penuh pemilihan Mohd Sharim sebagai calon BN.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.