Kerajaan saran turunkan tambang kapal terbang

80

22 JUN: Syarikat penerbangan disaran menurunkan kadar tambang sejajar dengan pengecualian arahan penjarakan sosial di dalam pesawat bagi semua perkhidmatan penerbangan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan wakil daripada tiga syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines Berhad (MAB), AirAsia dan Malindo Air, pada 11 Jun lalu.

Pada perjumpaan itu, menurut beliau, mereka antara lain berbincang mengenai pemulihan semula sektor penerbangan yang juga pintu masuk ekonomi negara, selepas penularan wabak COVID-19.

“Berdasarkan maklum balas diterima daripada syarikat penerbangan, tempahan tiket mestilah awal dan tidak mungkin tambang turun serta-merta, terutamanya bagi tiket penerbangan dibeli sehari dua sebelum tarikh pelepasan.

“Kerajaan juga telah mengingatkan syarikat penerbangan untuk sentiasa menetapkan kadar tambang penerbangan munasabah serta tidak membebankan rakyat terutama semasa tempoh pemulihan akibat pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Ka Siong memberitahu Mesyuarat Khas Menteri–Menteri pada 18 Jun 2020 memutuskan supaya pelaksanaan penjarakan sosial di pintu pelepasan sebelum memasuki pesawat dalam terminal lapangan terbang dikecualikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Pengunjung selain daripada penumpang termasuk meeters dan greeters, dibenarkan untuk memasuki bangunan terminal di lapangan terbang yang bertujuan membantu penumpang terutamanya warga emas dan orang kelainan upaya yang memerlukan bantuan.

“Ditegaskan, orang ramai masih perlu mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan seperti pemeriksaan kesihatan, suhu badan dan menggunakan pelitup muka serta cecair pembasmi kuman atau ‘hand sanitiser’ ketika berada di terminal lapangan terbang,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.