Anwar curiga, tak mahu beri Tun M laluan sekali lagi

154

22 JUN: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bahwa beliau dan partinya curiga untuk memberi ruang sekali lagi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri selama enam bulan sebelum berundur dan menyerahkan jawatan itu kepadanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, perasaan curiga timbul berdasarkan pengalaman yang dilaluinya setelah memberi laluan kepada Dr Mahathir sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan berapa lama lagi harus menderita kerana menunggu giliran untuk menjadi Perdana Menteri.

“Nak suruh saya derita berapa lama lagi, sudahlah,” katanya melalui siaran langsung dalam laman Facebook miliknya malam tadi.

Anwar turut mendedahkan sekutu-sekutunya dalam PH turut berasa curiga dan atas sebab itu, mereka mahu usul pencalonan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri kesembilan mesti didokumentasi dengan lengkap.

Selain menurunkan tandatangan, beliau memberitahu, terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi dan sekiranya janji tidak ditepati, Ahli-Ahli Parlimen boleh menarik balik sokongan mereka.

Anwar mendakwa, semua pemimpin bersetuju untuk mencalonkan namanya sebagai Perdana Menteri kesembilan tetapi Dr Mahathir tetap berkeras mahu jawatan itu menjadi miliknya semula.

“Ini keputusan dan kami minta Tun bersetuju, tetapi Tun tidak bersetuju dan perkara ini kita hujahkan.

“Saya kata hampir 24 tahun sudah menjadi Perdana Menteri bagilah orang lain ikut giliran,” jelasnya.

Beliau percaya pelantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri selama enam bulan tidak akan mengubah keadaan malah masalah yang sama dijangka berulang.

Anwar turut menepis dakwaan Dr Mahathir telah menerima sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri untuk kali ketiga.

“Kawan-kawan kata, Anwar kami mahu kamu jadi Perdana Menteri tetapi laluan tak mudah kerana kita perlu jumlah, ada yang percaya Tun Mahathir boleh dapat tetapi sampai kini belum dapat. Jadi kita beri dokongan (kepada Tun Mahathir), baru saudara diangkat,” ujarnya.

Anwar juga tidak dapat menerima apabila beliau dan partinya dituduh sebagai pengkhianat kerana menolak pencalonan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Menurut beliau, pandangan itu seharusnya diraikan sebagai perbezaan pendapat dan tidak sepatutnya dilabel sebagai pengkhianatan.

“Khianat ini tidak timbul, orang yang bagi kipas kepada pengkhianat itulah pengkhianat,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.