Aktiviti kolam renang awam dibenarkan mulai 1 Julai

91

22 JUN: Kerajaan membenarkan aktiviti riadah kolam renang awam di hotel, kondominium dan komuniti berpagar serta kolam renang persendirian mulai 1 Julai ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, prasyarat untuk setiap lokasi kolam renang mesti menyediakan penyelamat, pemantau atau penyelia bagi memastikan keselamatan pengguna serta jumlah dan masa penggunaan terkawal.

Menurut beliau, jumlah pengguna perlu berdasarkan kapasiti dan keluasan kolam renang.

“Walaupun tiada larangan bagi kanak-kanak untuk menggunakan kolam renang kanak-kanak, ia tidak digalakkan.

“Kolam-kolam renang ini juga perlu membuat pendaftaran notifikasi pembukaan kolam renang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam laman sesawang notification.miti.gov.my dan pihak berkuasa tempatan bagi tujuan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan pemantauan oleh Kementerian Belia dan Sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Mesyuarat Khas Menteri-Menteri MengenaiPelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.

Selain kolam renang, Ismail Sabri menambah, aktiviti pelancongan air di sungai, laut dan tasik dibenarkan dengan syarat mesti mematuhi SOP.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, taman tema air masih tidak dibenarkan beroperasi lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, pawagam, teater dan acara langsung dibenarkan beroperasi semula mulai 1 Julai ini di dewan tertutup sahaja.

“Aktiviti ini tidak boleh melebihi 250 individu bagi setiap pertunjukan dan tertakluk kepada kapasiti dewan.

“SOP yang ditetapkan terutamanya penjarakan sosial perlu dipatuhi setiap masa,” jelasnya.

Sementara itu, beliau mengumumkan keputusan mesyuarat khas tersebut bahawa penganjuran mesyuarat, persidangan, seminar, kursus atau latihan boleh dimulakan pada 1 Julai ini di mana penganjur dan peserta hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Pada dasarnya, kebenaran ini meliputi semua organisasi yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) untuk mengadakan mesyuarat agong dan mesyuarat-mesyuarat lain,” ujarnya.

Kata Ismail Sabri, kebenaran itu juga meliputi semua mesyuarat termasuk mesyuarat agung yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Selain itu, katanya, koperasi yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), persatuan-persatuan yang berdaftar di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) serta persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dibebarkan untyk mengadakan mesyuarat termasuk mesyuarat agung. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.