12 Kes Baharu Kluster Pedas

82

22 JUN: Terdapat pertambahan 12 kes baharu melibatkan kluster Pedas yang didapati positif COVID-19 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dengan itu jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 bagi Kluster Pedas sehingga pukul 12 tengah hari tadi adalah sebanyak 316 kes daripada 957 sampel saringan diambil termasuk 844 kontak di tempat kerja dan 113 ahli keluarga.

Beliau berkata, kes positif kluster Pedas membabitkan 14 kes dalam kalangan warga Malaysia.

Tambah beliau, sebanyak 302 kes bukan warganegara iaitu 163 warga Nepal; 67 Bangladesh; 35 Myanmar; 31 Indonesia; 4 India serta masing-masing satu warga Vietnam dan Kemboja.

Mengimbas kembali kluster Pedas, Dr. Noor Hisham berkata, ia bermula dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia dan kemudian berjangkit kepada pekerja bukan warganegara.

“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, situasi tempat kediaman sesak dan sempit bagi golongan bukan warga negara sememangnya merupakan faktor utama penularan dalam kalangan mereka.

“Susulan itu, pekerja terlibat dalam kluster ini telahpun diasingkan di pusat kuarantin. Mereka adalah terasing daripada masyarakat dan tidak memberi risiko kepada umum kerana kesemua pesakit masih berada di bawah tempoh kuarantin.

“Kes-kes positif baharu kluster ini (12 kes) telah dikesan hasil daripada saringan COVID-19 yang kelima dalam tempoh mereka di pusat kuarantin,” katanya pada sidang akhbar harian mengenai perkembangan COVID-19 di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Dr. Noor Hisham mengesahkan terdapat 15 kes baharu termasuk 12 kes kluster Pedas dan satu kes pra pembedahan Hospital Selayang dilaporkan dikesan hari ini menjadikan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini sebanyak 289 kes.

Mengulas lanjut Dr. Noor Hisham berkata, dengan pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 8,587 kes.

Katanya, daripada jumlah kes baharu tersebut, dua adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan warganegara Malaysia.

“Tiada kes penularan dalam negara melibatkan warganegara Malaysia. Kesemua 13 kes penularan dalam negara adalah bukan warganegara.

“Ingin dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan dan jumlah kumulatif kes kematian adalah kekal 121 kes atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Dalam pada itu, Beliau memberitahu, sebanyak 21 kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 8,177 kes atau 95.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.- HAIKA GHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.