Tiada rakyat Malaysia di China dijangkiti COVID-19

50

21 JUN: Tiada rakyat Malaysia di Beijing atau di wilayah lain di negara itu dilaporkan dijangkiti COVID-19 setakat ini.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing sedang memantau rapi penularan terkini wabak COVID-19 di beberapa lokasi di wilayah itu dan situasi dilaporkan terkawal.

“Semua rakyat Malaysia di Beijing harus mematuhi peraturan saringan kesihatan tempatan yang berkaitan dan disaran mengelakkan perjalanan yang tidak penting ke daerah-daerah yang terjejas,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap di Beijing atau yang sedang merancang perjalanan dari atau ke Beijing agar terus mengambil langkah berjaga-jaga yang ditetapkan.

“Wisma Putra turut menggalakkan semua rakyat Malaysia di China untuk mengambil kira kemungkinan gangguan perkhidmatan pengangkutan apabila merancang perjalanan masing-masing,” jelasnya.

Beliau menggalakkan rakyat Malaysia di China memaklumkan kepada kedutaan atau konsulat jeneral berhampiran mengenai orang yang boleh dihubungi dalam kes kecemasan, sekiranya belum berbuat demikian melalui pautan https://is.gd/MyCn2020.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.