Terus beri ruang kepada generasi muda UMNO

43

21 JUN: Golongan muda dalam UMNO seharusnya terus diberi ruang untuk membawa suara generasi mereka dalam pilihan raya dan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata, mandat yang diberikan kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini sewajarnya diteruskan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman memberitahu, langkah itu memperlihatkan bahawa parti bersedia memberi kepercayaan dan pengiktirafan kepada lebih ramai anak muda.

“Dan kita berdoa mudah-mudahan calon ini mendapat kejayaan dalam pilihan raya ini dan kami juga berdoa anak muda terus diberi mandat sebegini untuk menjadi contoh dan tauladan kepada tempat-tempat yang lain dalam usaha kita mendepani nusa dan bangsa, demi agama dan negara,” katanya seperti dipetik dari laporan UMNO Online.

Berhubung pemilihan Mohd Sharim sebagai calon, Mohd Johari menyifatkan pucuk pimpinan parti telah membuat keputusan yang tepat.

Langkah itu, katanya, membuktikan parti sentiasa mendengar suara hati rakyat dan mengiktiraf peranan generasi muda yang banyak berbakti dalam aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan belia serta berkhidmat untuk masyarakat setempat.

“Saya menyambut baik atas kepercayaan yang diberikan oleh Pengerusi Perhubungan Negeri Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang dan tidak dilupakan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua UMNO Bahagian Pekan yang telah memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Saudara Sharim sebagai calon N.23 Chini.

“Dan ini satu perkara yang amat membanggakan kami anak-anak muda khususnya di DUN Chini kerana kepercayaan yang diberikan ini sudah pasti akan disambut baik oleh calon sendiri selaku Ketua Pemuda Cawangan di tempat beliau dan juga banyak terlibat dengan NGO-NGO di peringkat negeri dan kebangsaan,” jelasnya.

Beliau menambah, pemilihan Mohd Sharim juga menepati kehendak akar umbi dan masyarakat setempat di Chini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.