Pegawai, anggota ATM khianati negara dikenal pasti

177

21 JUN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang mengenal pasti identiti pegawai dan anggotanya yang disyaki menjadi ‘pengkhianat negara’ dengan bersubahat dengan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pemerdagangan manusia di Malaysia.

Panglimanya, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pihaknya tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau anggota ATM yang didapati bersubahat dengan sindiket terbabit.

Berikutan itu, Affendi berkata ATM sedang menjalankan siasatan dalaman bagi mengenai pasti pegawai dan anggota yang terbabit dengan kegiatan berkenaan.

“Mana anggota dan pegawai yang sudah kena tangkap (ditahan) akan terserah kepada polis untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang awam. Mana-mana yang mungkin masih terbabit, kami akan cari dan tentukan mereka dapat dikesan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pos Gabungan ATM dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) di Kem Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) Biawak, hari ini,

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain; Pemangku Panglima Medan Timur Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima 1 Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Dzulkafli Mustafa: Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha dan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, Datuk Ken Leben.

Mengulas lanjut, Affendi berkata beliau memberi jaminan, mereka yang didapati melakukan kegiatan yang mengancam kedaulatan negara itu akan menerima tindakan sewajarnya.

“Saya tidak akan memberitahu apa tindakan yang dikenakan terhadap mereka, tetapi saya jamin ia pembalasan yang setimpal,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan, polis mengenal pasti puluhan pegawai dan anggota polis serta ATM bersekongkol dengan sindiket penyeludupan PATI.

Terdahulu, Affendi meninjau kawasan operasi anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di lokasi lorong tikus sekitar Biawak. Sepanjang Ops Benteng dilaksanakan, sebanyak 49 lokasi laluan tikus baharu dikesan di seluruh Sarawak.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.