Mujahid bersedia disiasat isu aset TH

442

21 JUN: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyokong penuh cadangan untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat penjualan aset milik Lembaga Tabung Haji (TH) pada zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu juga bersedia disiasat oleh RCI tersebut jika terdapat bukti kukuh mengenai pembabitan beliau dalam urusan penjualan dan lelongan aset milih TH ketika memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Malah, beliau sedia bekerjasama bagi menyelesaikan segala dakwaan yang dibuat terhadapnya oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Saya bersedia untuk membantu siasatan dalam suruhanjaya bebas ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mujahid mengulas dakwaan Asyraf Wajdi yang mendedahkan surat pelucutan hak terhadap pembelian semula aset TH oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipercayai ditandatangani sendiri oleh Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Nik Mohd Hasyudeen Yusof dan diluluskan seorang menteri PH.

Surat rasmi TH bertarikh 3 Disember 2019 itu mendedahkan Mujahid meluluskan pengecualian hak penolakan pertama bagi 18 aset hartanah TH yang dipindahkan ke sebuah syarikat, Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB). – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.