Memorandum hukuman berat pemandu mabuk ke Kabinet

59

21 JUN: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong akan menghantar satu memorandum kepada Kabinet pada minggu depan bagi meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Beliau berkata, pindaan berkenaan penting bagi membolehkan pihak berkuasa mengenakan hukuman lebih berat terhadap pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk di bawah pengaruh dadah atau secara berbahaya (DUI).

Katanya, kementerian komited untuk mengenakan hukuman yang lebih berat supaya tiada lagi yang berani memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau memandu secara merbahaya.

“Tragedi kemalangan jalan raya akibat DUI seperti apa yang menimpa Nurul Huda ini mengundang kesedihan yang amat memilukan kepada keluarga mangsa. Berita sebegini menguatkan lagi tekad untuk memerangi pemanduan di bawah pengaruh alkohol, dadah dan pemanduan secara merbahaya.

“Cukup cukuplah. Saya akan membawa memorandum kepada Kabinet untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemanduan DUI pada minggu depan agar tragedi sebegini tidak berlaku lagi atau sekurang-kurangnya dapat dicegah secara drastik.

“Kami sememangnya komited untuk mengenakan hukuman yang lebih berat supaya tiada lagi berani memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau memandu secara merbahaya,” katanya dalam satu kenyataan menerus laman Facebook miliknya hari ini.

Sebelum ini media melaporkan sepasang suami isteri dan seorang anak mereka berusia dua tahun maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah pikap di Kilometer 74, Jalan Ipoh – Gerik, berdekatan Kampung Kuak, Sauk, Perak, malam kelmarin.

Dalam kejadian 10.30 malam, mangsa Nurul Huda Arifin, 31, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan kereta Toyota Vios meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala, suaminya yang juga pemandu kereta, Abdul Hakim Hashim, 32, serta seorang anak mereka di tempat duduk belakang, Adib Aidan Abdul Hakim, 2, meninggal dunia sewaktu dirawat di Hospital Kuala Kangsar.

Selain itu seorang lagi anak mereka yang berusia empat tahun cedera ringan. Difahamkan Nurul Huda sekeluarga menjadi mangsa pemandu positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Suspek berusia 33 tahun yang bekerja sebagai pembalak, direman selama empat hari bermula hari ini, selain semakan mendapati suspek turut mempunyai 27 saman lampau dan empat saman yang belum dijelaskan atas pelbagai kesalahan trafik, terutamanya memandu laju.

Mengikut undang-undang sedia ada mana-mana individu didapati memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan menyebabkan kematian boleh dikenakan hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun dan denda antara RM8,000 hingga RM20,000, jika disabit kesalahan mengikut Seksyen 44 (a) Akta 333 jika disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

Hukuman sama turut diperuntukkan bagi individu disabit bersalah mengikut Seksyen 44 (b) Akta 333 kerana memandu dengan kandungan alkohol dalam badan, nafas, darah atau air kencing melebihi had ditetapkan dan menyebabkan kematian.

Seksyen 45A (1) Akta 333 memperuntukkan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM6,000 atau penjara maksimum setahun, jika disabit kesalahan kerana memandu, cuba memandu atau menjaga kenderaan ketika mabuk

Mengulas lanjut, Ka Siong juga menggesa orang ramai supaya berfikir secara waras sebelum mengambil keputusan memandu dalam keadaan mabuk, di bawah pengaruh dadah dan secara berbahaya.

“Fikirkan tentang diri sendiri dan orang lain sebelum memandu. Demi masyarakat kita, janganlah memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah atau memandu secara merbahaya,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.