Majlis perkahwinan bukan Islam dibenarkan, tertakluk SOP PKPP

204

21 JUN: Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintahan Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini bersetuju untuk membenarkan penganjuran majlis perkahwinan bagi penganut bukan Islam.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu adalah bagi upacara perkahwinan bukan Islam di rumah ibadat dan persatuan agama bukan Islam membabitkan Penolong Pendaftar Perkahwinan yang dilantik dibawah Seksyen 28, Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) (Akta 164).

Katanya, upacara perkahwinan ini tidak boleh melebihi 20 orang termasuk Penolong Pendaftar Perkahwinan dan tertakluk kepada kapasiti rumah ibadat atau persatuan agama bukan Islam dan penjarakan sosial.

“Upacara perkahwinan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan, manakala majlis resepsi perkahwinan masih tidak dibenarkan untuk diadakan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri mengesahkan Pasukan Task Force Operasi Pematuhan diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 48 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, 40 individu sudah direman dan lapan lagi dikenakan kompaun kerana pelbagai kesalahan termasuk menyertai aktiviti refleksologi atau urut (10 orang) dan aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial (38 orang).

Beliau berkata, pasukan berkenaan juga melakukan 67,004 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP di seluruh negara, semalam.

Katanya, PDRM menahan 10 warga asing atas kesalahan imigresen daripada 69 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 34,275 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (Pati).

“Operasi Benteng yang membabitkan ATM (Angkatan Tentera Malaysia), PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong-lorong tikus,” katanya.

Mengenai operasi sanitasi awam COVID-19, beliau berkata, sebanyak 70 operasi sanitasi meliputi 43 zon di 11 buah negeri antaranya Sarawak (19 operasi), Melaka (14 operasi) dan Sabah (10 operasi) dijalankan dalam Ops Sanitasi Awam semalam.

Selain itu, katanya, seramai 281 rakyat Malaysia sudah pulang ke negara semalam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Singapura, Emiriah Arab Bersatu, China, Brunei, Pakistan, Vietnam serta wilayah Hong Kong.

Menurut Ismail Sabri, daripada jumlah itu, sebanyak 278 individu diperintahkan menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala tiga lagi dibawa ke hospital.

Sementara itu, beliau berkata, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan 2,287 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP.

Ismail Sabri berkata, pemeriksaan itu mendapati 2,247 premis mematuhi SOP yang ditetapkan dan 36 premis diberi nasihat manakala empat premis diberi amaran atas ketidakpatuhan SOP.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.