BPET tiada kaitan PRK DUN Chini – Ahmad Zahid

46

21 JUN: Bantuan Prihatan Elektrik Tambahan (BPET) tiada kaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang bakal diadakan pada 4 Julai ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan dan usaha untuk menyelesaikan masalah kenaikan mendadak bil elektrik telah dilakukan lebih awal.

Menurut beliau, kerajaan yang prihatin sentiasa meletakkan kemaslahatan dan kebajikan rakyat sebagai agenda utama.

“Kepada anggota Kabinet, terutamanya Menteri daripada Barisan Nasional (BN), teruskan bekerja membantu rakyat, peka dengan masalah mereka, hulurkan bantuan dengan semampunya.

“Abaikan segala omongan dan persepsi negatif yang dilontarkan bagi melemahkan semangat kalian untuk bekerja demi kesejahteraan rakyat dan negara, kekal fokus,” katanya melalui hantaran dalam laman Facebook miliknya, semalam.

Ahmad Zahid mengulas pengumuman pelaksanaan BPET oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah semalam yang membolehkan seramai empat juta pengguna domestik dengan bil elektrik RM77 ke bawah akan menikmati bil elektrik percuma dari April hingga bulan ini.

Beliau menambah, pengumuman itu dapat melegakan keresahan rakyat yang terkesan dengan isu kenaikan bil elektrik mendadak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

“Tahniah saya ucapkan kepada YB Menteri, YB Pengerusi TNB (Datuk Seri Mahdzir Khalid) dan semua pihak yang telah berusaha dan bertungkus-lumus mencari solusi yang terbaik bagi menyelesaikan masalah ini,” jelasnya.

Ahmad Zahid berpandangan, pengumuman ini adalah bukti keprihatinan kerajaan yang sentiasa peka dengan rintihan dan keperitan rakyat yang terjejas sumber kewangan akibat pandemik COVID-19.

“Jika ada mereka yang sudah membayar bil bagi tempoh PKP ini, jangan risau, bayaran anda akan dikreditkan semula pada bil bulan Julai kelak,” ujarnya.

Kata beliau, dengan lebihan bayaran yang telah dibuat, mereka dapat menampung serba sedikit perbelanjaan bagi bulan hadapan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.