AKPK tawar khidmat nasihat selepas moratorium

134

21 JUN: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bersedia menawarkan khidmat nasihat serta penjadualan semula hutang kepada individu yang berdepan masalah pembayaran hutang selepas tempoh moratorium berakhir.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporatnya, Mohamad Khalil Jamaldin berkata, AKPK bersedia membantu mereka yang masih terkesan dari segi kewangan apabila pelaksanaan moratorium tamat pada 30 September ini.

“Bagi golongan yang pendapatannya tidak terjejas tetapi memilih untuk menerima moratorium dijangka tidak mempunyai masalah untuk membayar semula pinjaman setelah tamat tempoh moratorium.

“Namun bagi mereka yang masih terkesan dari segi kewangan dan menempuh saat sukar, diseru agar mendapatkan bantuan awal dengan menghubungi institusi kewangan masing-masing atau AKPK,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Agensi berkenaan turut menggariskan sembilan panduan bagi membantu mereka yang berkenaan membuat persediaan menghadapi cabaran kewangan selepas moratorium, antaranya bersedia dari segi mental dan emosi bahawa tiada lagi penangguhan bayaran mulai 1 Oktober, tidak menunggu saat akhir dengan merancang awal pembayaran dan mengetahui ansuran bulanan terkini.

Mereka juga dinasihatkan menyemak semula kedudukan kewangan terkini, mengkaji semula bajet bulanan, menjana pendapatan baharu, mempelajari kemahiran baharu, meneroka pakej insentif COVID-19 dan tidak terjebak dalam skim penipuan kewangan.

Bagi yang ingin mengetahui tip terkini pengurusan kewangan berhemat serta pembelajaran pengurusan kewangan dalam talian, mereka boleh melayari laman sesawang power.akpk.org.my atau media sosial AKPK seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Bagi yang ingin mendapatkan bantuan, AKPK boleh dihubungi menerusi talian khidmat pelanggan 03-2616 7766 atau melalui laman sesawang www.akpk.org.my serta pautan bit.ly/AKPKdmp2020.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.