2,000 ahli PKR Kalabakan keluar parti

199

21 JUN: PKR Sabah semakin berantakan apabila kira-kira 2,000 ahlinya di Cabang Kalabakan keluar parti, semalam.

Memetik laporan Borneo Today, kumpulan yang diwakili bekas Timbalan Ketua Cabang berkenaan, Mohd Jailani Chaco menyatakan bahawa mereka hilang kepercayaan terhadap PKR yang dianggap tersasar jauh dari landasan perjuangan reformasi membela nasib rakyat.

Menurut beliau, sepanjang 22 bulan berkuasa, pemimpin tertinggi PKR kerap mempersoalkan isu peralihan kuasa berbanding masalah rakyat.

“Malah sehingga hari ini, mereka masih lagi berebut jawatan Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sampai bila perkara ini berterusan sekali gus menyebabkan kita gagal menguruskan negara pada masa akan datang,” katanya.

Mohd Jailani memberitahu, tindakan keluar parti itu adalah atas kerelaan sendiri tanpa paksaan pihak ketiga dan mereka melakukannya selepas melihat pucuk pimpinan PKR hanya mementingkan agenda peribadi dan kelompok tertentu sahaja.

“Selain itu, ia sebagai tanda solidariti dan kebersamaan kami kepada mantan Ketua AMK Kalabakan, Asis Bakri yang dipecat tanpa alasan kukuh, April lalu,” katanya.

Sementara itu, bekas Setiausaha PKR Cabang Kalabakan, Samsir Bakri berkata, tindakan keluar parti itu tidak akan menjadi noktah kepada mereka untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Kami akan bergerak sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan memberi sokongan kepada Datuk Seri Azmin Ali serta mantan pemimpin PKR lain yang kini berada di blok kerajaan Pakatan Nasional (PN),” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.