2 calon Bebas dijangka hilang wang deposit

208

21 JUN: Dua calon Bebas iaitu Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli berkemungkinan bukan hanya kalah, malah dijangka hilang wang deposit dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undang Negeri (DUN) Chini, pada 4 Julai ini.

Penganalisis politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain dilihat sebagai calon pilihan dan berpeluang besar untuk menang.

Menurut beliau, kebiasaannya sukar calon Bebas untuk menang jika mereka anak tempatan yang berpengaruh dan dikenali ramai.

“Ini kerana mereka bertanding atas tiket mana-mana gabungan parti sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) maka agak susah untuk mereka meraih undi yang tinggi berbanding calon BN yang turut mendapat sokongan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Kawasan DUN Chini adalah kubu kuat BN dan pengaruh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku ahli Parlimen Pekan memang amat besar dalam kalangan penduduk dan masyarakat di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), wakil BN yang juga penyandang kerusi DUN Chini, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun memperoleh kemenangan besar selepas memperoleh 10,027 undi atau majoriti 4,662 undi dengan menawaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor (5,405 undi) dan calon PKR, Mohamad Razali Ithnin yang hilang wang deposit (1,065 undi).

Walau bagaimanapun, Mohd Azizuddin tidak menolak kemungkinan peratusan keluar mengundi akan susut berikutan orang ramai bimbang mengenai penularan wabak COVID-19 yang masih berlaku di negara ini sekarang.

“Saya melihat ‘mood’ untuk ramai untuk keluar mengundi masih kurang berikutan kurang publisiti diberikan media tempatan mengenai PRK DUN Chini, selain ketakutan dan kebimbangan mengenai penularan wabak COVID-19 masih menebal dalam kalangan masyarakat.

“Biarpun jumlah keluar mengundi dijangka menurun namun peluang calon BN untuk menang besar masih cerah,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.