16 kes baharu COVID-19 dikesan

73

21 JUN: Kementerian Kesihatan mengesahkan 16 kes baharu COVID-16 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 8,572 kes.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga daripada 16 kes baharu berkenaan adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara membabitkan dua rakyat Malaysia dan seorang pemastautin tetap.

Beliau berkata, bagi kes penularan dalam negara, sebanyak 13 kes dilaporkan dengan sembilan kes bukan warganegara manakala empat kes adalah rakyat Malaysia.

“Kes jangkitan dalam kalangan bukan warganegara Malaysia daripada kluster syarikat pembersihan di Selangor membabitkan dua kontak rapat kes positif COVID-19 (kes ke-8,513).

“Enam kes daripada kluster Pedas dan satu kes daripada saringan tahanan di Pusat Tahanan Sementara Tawau sebelum penghantaran pulang ke Indonesia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, tiada pertambahan kes kematian disebabkan COVID-19 dan jumlahnya kekal 121 kes bersamaan 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Berhubung kes jangkitan warga Malaysia, Dr Noor Hisham berkata, dua kes daripada kluster Kidurong iaitu kontak rapat kes ke-8,535.

Katanya, satu kes daripada saringan orang kena tuduh (OKT) yang baharu dimasukkan ke lokap di Melaka dan satu kes saringan prapembedahan di hospital di Johor.

“Kita juga ingin memaklumkan terdapat 10 kes yang pulih dan dibenarkan keluar dari hospital hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan discaj daripada wad adalah sebanyak 8,156 kes, 95.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 295 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

“Setakat dilaporkan hari ini, tiga kes positif COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada pesakit memerlukan bantuan pernafasan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari tadi.

Katanya, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini kekal 121 kes iaitu 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.