Musa Aman tuntut pampasan RM1b daripada Yayasan Sabah

7,918

20 JUN: Bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mengemukakan satu surat menuntut pampasan sebanyak RM1 bilion diserahkan kepada lembaga pemegang amanah Yayasan Sabah sebagai ganti rugi.

Musa juga menuntut permohonan maaf berhubung keputusan yayasan itu membuat kenyataan awam mengenai saman bernilai beratus-ratus juta ringgit terhadapnya.

Peguam Musa, Tengku Fuad Ahmad dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak ahli politik itu menamakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal (pengerusi lembaga pemegang amanah Yayasan Sabah) dan pemegang amanah individu, Jamalul Kiram dan Douglas Lind dalam tuntutan itu.

Beliau berkata, Musa mahu Shafie, Kiram dan lembaga pemegang amanah membayar kepada badan kebajikan pilihan Musa sebanyak RM1 biliom dalam tempoh 24 jam selepas menerima surat tuntutan tersebut.

Mereka juga perlu menulis surat memohon maaf tanpa syarat kepada Musa selain menarik balik kenyataan berhubung perkara itu sebelum ini, katanya.

Dalam bahagian ke-3 tuntutan itu, Musa juga menuntut surat permohonan maaf dan penarikan balik kenyataan itu disiarkan dalam semua akhbar dan media atas talian.

Musa juga menuntut supaya satu sidang media diadakan untuk membacakan permohonan maaf dan penarikan balik kenyataan itu sepenuhnya.

Semalam pengarah Yayasan Sabah Jamalul Kiram berkata, yayasan berkenaan memfailkan saman terhadap Musa dalam usaha mendapatkan wang sebanyak RM872 juta yang didakwa hilang semasa Musa memegang jawatan pengerusi lembaga pemegang amanahnya.

Kiram berkata, lembaga pengarah yayasan berkenaan percaya dana tersebut hilang berikutan aktiviti pembalakan yang meragukan.

Musa menafikan sebarang salah laku.

Dalam kenyataan hari ini, Fuad berkata, semua pihak yang dinamakan dalam tuntutan itu serta ejen mereka hendaklah tidak mengulangi dakwaan itu, selain menambah bahawa sidang media dan kenyataan media berkait saman itu merosakkan nama baik dan reputasi Musa.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.