Jawatan Tengku Zainal Hisham Automatik Terlucut Daripada Bersatu

439


20 JUN: Keahlian Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pekan, Tengku Datuk Zainul Hisham terlucut hari ini susulan tindakannya bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini sebagai calon Bebas.

Setiausaha Bersatu Pahang, Mohd. Yazid Mohd. Yunus berkata, keputusan ini berkuatkuasa serta merta selaras dengan Fasal 10.2.4 Perlembagaan Bersatu yang menyatakan keahlian seseorang ahli parti akan tergugur jika bertanding dalam pilihan raya menentang calon parti dan tanpa kebenaran parti.

Menurut beliau, ahli ingkar peraturan parti itu termasuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) menentang calon yang dipersetujui bercanggah dengan pendirian parti, sekali gus boleh mengakibatkan keahlian tergugur serta-merta berdasarkan perlembagaan parti.

“Kita masih meneliti siapakah ahli ahli Bersatu yang menyatakan sokongan terhadap Tengku Zainul dan jika terbukti keahlian mereka juga akan terlucut dengan serta-merta. 

“Kita akan maklumkan dan menghantar surat ke Lembaga Displin Bersatu bahawa Tengku Zainul bukan lagi ahli Bersatu dan segala jawatannya dalam Bersatu turut terlucut ,” katanya ketika dihubungi PNBBC Portal, hari ini. 

Dalam pada itu, Yazid memberitahu, pihaknya kecewa dengan tindakan Tengku Zainul yang mengambil keputusan bertanding dalam PRK DUN Chini walaupun mendapat tentang daripada Bersatu Negeri. 

“Sangat kecewa dengan tindakan beliau kerana mengambil keputusan begini. Sepatutnya beliau menyokong kehendak parti.

“Walaupun kita dah buat keputusan ketika mesyuarat tidak bersetuju dan menasihatnya mematuhi arahan parti namun dia tetap dengan pendiriannya untuk bertanding,” katanya. 

Terdahulu, PRK DUN Chini kali ini menyaksikan pertandingan  tiga penjuru antara calon Barisan Nasional dengan dua lagi calon Bebas. 
Calon BN diwakili Mohd. Sharim Md. Zain yang akan ditentang dua calon bebas iaitu Tengku Zainul Hisham dan aktivis masyarakat, Mohd. Shukri Mohd. Ramli. – AIMAN SADIQ ABDULLAHH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.