Dua Tapak Pembinaan Gagal Patuh SOP

37

20JUN: Pemeriksaan pihak berkuasa semalam mendapati dua tapak pembinaan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Hasil pemeriksaan kendalian Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut menyaksikan 15 tapak binaan tidak beroperasi, manakala 56 lain mematuhi SOP ditetapkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perangkaan itu menjadikan sejumlah 2,173 tapak binaan diperiksa CIDB setakat semalam.

“Setakat semalam, 419 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran manakala 19 tapak binaan untuk tutup kerana tidak mematuhi SOP.

“Antara syarat utama sebelum tapak binaan dibenarkan beroperasi adalah memastikan pegawai keselamatan dan kesihatan ditempatkan di lokasi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata, dari 10 sehingga 18 Jun lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat saringan ke atas 6,719 individu di seluruh pintu masuk negara.

Menurut beliau, daripada jumlah ini, 6,696 individu didapati negatif COVID-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

“22 individu lagi didapati positif telah dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala satu individu lagi masih menunggu keputusan saringan.

“Semalam, seramai 281 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan daripada jumlah itu, seramai 278 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala tiga lagi dibawa ke hospital,” katanya. – AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.