4 Juta Pengguna Domestik Dapat Elektrik Percuma

162

20 JUN: Seramai empat juta pengguna domestik dengan bil elektrik RM77 ke bawah akan menikmati bil elektrik percuma dari April hingga Jun ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan akan memberi Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan dalam kategori domestik di Semenanjung berjumlah RM942 juta bagi mengurangkan beban pengguna elektrik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, secara keseluruhan Bantuan PRIHATIN Elektrik Tambahan itu akan memanfaatkan 7.66 juta pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia.

“Daripada jumlah itu, seramai empat juta atau 52.2 peratus pengguna domestik dengan bil elektrik RM77 ke bawah atau penggunaan elektrik 300 kilowatt ke bawah akan menikmati bil elektrik percuma dari April hingga Jun ini.

“Bantuan-bantuan ini akan disalurkan melalui bil elektrik bulan Julai 2020,” katanya pada sidang akhbar khas di Pejabat Suruhanjaya Tenaga di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar memberitahu, bagi penggunaan elektrik melebihi 300 kilowatt ke atas, pengguna akan menerima potongan bil antara RM232.35 sehingga RM395.60 dari April hingga September ini.

“Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga bersetuju menghentikan aktiviti pemotongan elektrik sehingga 30 September ini. Jadi, pengguna tidak perlu risau jika menghadapi kesukaran untuk membayarnya.

“Kerajaan berharap agar penjimatan melalui Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan ini akan dapat membantu meringankan beban rakyat dari segi perbelanjaan rumah.

Sementara itu, Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya memberitahu, pihaknya berharap bantuan ini dapat memberi kelegaan kepada seluruh Rakyat Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Pengumuman sebentar tadi juga membuktikan komitmen kami di TNB untuk terus membantu Rakyat dalam apa jua keadaan dan tetap komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” tulisnya. – AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.