WP lanjut tempoh bayar cukai tanah 6 bulan

52

19 JUN: Warga Wilayah Persekutuan diberi lanjutan masa enam bulan mulai 31 Mei hingga 30 November ini untuk membayar cukai tanah dan cukai petak tahun ini tanpa dikenakan denda lewat.

Perkara itu diumumkan oleh Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Datuk Che Roslan Che Daud dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, pelanjutan tarikh akhir bayaran itu terpakai dan berkuat kuasa serta-merta di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Keputusan ini sudah pastinya memberi kelegaan kepada orang ramai berikutan mereka mempunyai masa yang lebih panjang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai selaras dengan Kanun Tanah Negara 1965,” ujarnya.

Che Roslan menambah, kerajaan memahami situasi ekonomi semasa serta kedudukan kewangan semua pihak yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Langkah itu juga akan dapat memberi manfaat kepada sejumlah 298,405 pembayar cukai tanah dan cukai petak dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.