Tiada bukti ikan punca wabak COVID-19 di Beijing

35

19 JUN: Punca sebenar penularan wabak COVID-19 di Beijing, China, sejak minggu lalu, masih belum dapat dipastikan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiada bukti kukuh menunjukkan penularan wabak COVID-19 di Beijing, China sekarang adalah berpunca dari ikan atau haiwan lain.

Menurut beliau, banyak pihak membuat kesimpulan bahawa jangkitan yang berlaku mungkin mempunyai kaitan dengan faktor kebersihan persekitaran.

Dr Noor Hisham menjelaskan, tindakan susulan dijalankan untuk memeriksa sama ada ia berasal daripada haiwan, tetapi setakat ini tidak ada bukti ia datang daripada ikan atau haiwan.

“Kesimpulan dijalankan di peringkat awal mungkin ia ada kaitan dengan kebersihan, namun apa yang penting pastikan mengambil langkah pencegahan.

“Jaga kebersihan semasa berniaga di pasar dan sebagainya tetapi kajian tetap dijalankan ke atas haiwan dan ikan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, media antarabanga melaporkan Norway dan China mencapai kata sepakat, ikan salmon diimport dari Oslo kemungkinan bukan punca penularan Covid-19 di Beijing sejak minggu lalu.

Menteri Perikanan Norway, Odd Emil Ingebrigtsen dilaporkan sebagai berkata, ia bukan berasal daripada ikan diimport dari Norway.

Sumber protein dari Norway itu dikaji di China selepas muncul kes baharu Covid-19 yang ditemui pada papan pemotong yang digunakan untuk memotong salmon diimport.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.