PRK Chini: SPR benar ceramah, kempen rumah ke rumah

87

19 JUN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminda beberapa prosedur operasi standard (SOP) dan membenarkan kembali 3 aktiviti kempen bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, bagi memberi kelonggaran kepada calon dan parti untuk berkempen, aktiviti yang dibenarkan itu adalah berkempen secara berceramah, tinjauan mesra atau ‘walkabout’ dan kempen dari rumah ke rumah.

Bagaimanapun, beliau berkata penganjur hendaklah memastikan pematuhan peraturan sedia ada serta SOP penjarakan sosial, memakai pelitup separuh muka, menggunakan pencuci pembasmi kuman, saringan suhu badan dan pengambilan rekod kehadiran.

“Bagi aktiviti ceramah politik, SPR membenarkan tidak lebih daripada 250 orang pada satu-satu masa dan tempat, tertakluk pada saiz kawasan serta terhad di premis tertutup sahaja.

“Aktiviti kempen dari rumah ke rumah pengundi dan ‘walkabout’ pula, hanya 3 orang sahaja dibenarkan sama ada calon atau penyokong parti pada satu-satu masa dan tempat,” katanya selepas melakukan tinjauan akhir di pusat penamaan calon PRK itu di Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, hari ini.

Pindaan SOP bagi aktiviti kempen PRK Chini dibuat selaras dengan keputusan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan kelonggaran perintah kawalan pergerakan (PKP) yang diumum pada 16 Jun.

Azhar berkata, aktiviti bersentuhan atau bersalaman dengan bakal pengundi sama sekali tidak dibenarkan dan calon serta wakil calon yang terlibat dengan kempen ziarah dari rumah ke rumah dan program ‘walkabout’ perlu mematuhi peraturan sedia ada dengan mengamalkan jarak 1 meter serta merekodkan senarai rumah yang dikunjungi.

Beliau berkata, calon digalakkan memaksimumkan kaedah kempen secara dalam talian atau melalui saluran media sosial.

Dalam pada itu Azhar turut mengingatkan calon yang akan bertanding serta parti politik untuk mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan pada hari penamaan calon esok.

Beliau berkata, kertas penamaan calon boleh dikemukakan mulai 9 pagi sehingga 10 pagi kepada pegawai pengurus pilihan raya di pusat penamaan calon di Dewan Utama IKBN Pekan.

Katanya hanya calon, pencadang dan penyokong, atau mana-mana 2 orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka, dibenarkan masuk ke dalam dewan utama itu bagi mengemukakan kertas penamaan calon.

Ditanya mengenai pembelian set borang pencalonan, Azhar berkata setakat ini sebanyak 10 set terjual dan ada daripada mereka telah membayar deposit pilihan raya berjumlah RM8,000 bagi setiap seorang.

DUN Chini, yang merupakan satu daripada 4 DUN dalam kawasan Parlimen Pekan, akan menyaksikan PRK pertama selepas PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

PRK DUN Chini dijadualkan pada 4 Julai berikutan kematian penyandangnya Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung.

Pada PRU14 lepas, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, manakala calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.