Pemilihan Mohd Sharim bukti BN iktiraf anak muda

46

19 JUN: Pemilihan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Chini, Mohd Sharim Md Zain, sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, adalah satu pengiktirafan kepada anak muda.

Berikutan itu, Pengerusi Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana memberikan kepercayaan kepada Mohd Sharim.

“Sesungguhnya selepas mengharungi kemenangan di lima PRK yang menyaksikan saluran-saluran mengundi anak muda telah kembali memberikan sokongan kepada BN, Pemuda BN dan Pemuda UMNO khususnya merasakan sudah tiba masanya ditampilkan calon di kalangan orang muda.

“Alhamdulillah, Chini menyaksikan bahawa BN sebuah parti yang makin progresif menyantuni realiti dinamika landskap politik yang semakin berubah dengan kebanjiran pengundi muda.

“Moga gelombang perubahan ini dapat terus disemarakkan di dalam Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam Wan Rosdy mengumumkan nama Mohd Sharim yang juga Pengerusi Majlis Belia FELDA Wilayah Kuantan sebagai sebagai calon BN di PRK DUN Chini, pada 4 Julai ini.

Pemilihan Mohd Shahrim yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan dibuat selepas mendapatkan pandangan dan tinjauan pengundi di DUN yang majoriti pengundinya peneroka Felda, penduduk kampung tradisi Melayu dan Orang Asli.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin menyifatkan pemilihan Mohd Sharim satu keputusan yang tepat.

“Penduduk Chini serta DUN Pahang sendiri memerlukan lebih ramai suara anak muda dalam kerajaan, demi mengangkat aspirasi belia,” katanya.

Beliau turut menyatakan kesediaan PAS membantu kemenangan BN dalam PRK DUN Chini. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.