Calon PM-9: PKR Mahukan Anwar, Bukan Tun M

116

19 JUN: Nampaknya pergolakan dalam Pakatan Harapan (PH) Plus seperti tiada kesudahan dalam menentukan siapakah Perdana Menteri Kesembilan jika berjaya mengambil alih Putrajaya.

Pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin gabungan parti itu dalam menentukan siapakah yang diangkat sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Sebelum ini, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Anthony juga meminta PKR menyatakan pendirian mereka tentang cadangan itu sama ada memilih Dr. Mahathir atau Anwar sebagai Perdana Menteri seterusnya.

Namun, beberapa pemimpin PKR seperti Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir menolak pencalonan itu dan mengekalkan Anwar sebagai calon utama Perdana Menteri.

Bagaimanapun bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menyatakan jawatan itu bukan hak mutlak Anwar dan peluang PH mengambil alih Putrajaya dilihat sangat tipis dan mustahil untuk berbuat demikian.

Hari ini terjawab persoalan mengenai pendirian PKR bahawa mereka tetap mahukan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Menerusi kenyataan bersama Majlis Pimpinan Pusat dan ahli-ahli Parlimen PKR dalam akaun Facebook parti itu, mereka memutuskan untuk tidak menyokong cadangan mencalonkan bekas Perdana Menteri tersebut sebagai Perdana Menteri.

“Keadilan tetap terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Tun Dr. Mahathir demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya.

“Walau bagaimanapun, parti memutuskan untuk tidak menyokong cadangan mencalonkan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dan kekal dengan konsensus PH mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” kata kenyataan itu.

Nampaknya isu calon jawatan tertinggi negara itu lebih utama berbanding masalah lain yang kini dihadapi oleh rakyat.

Adakah PH tidak mengambil pengajaran yang berlaku semasa 22 bulan mentadbir negara yang mendesak Dr. Mahathir turun daripada jawatannya sehingga berlaku krisis politik yang menggusarkan masyarakat Februari lalu. –MOHD. FAIRUZ YUSOF

Get real time updates directly on you device, subscribe now.