Boleh masuk Malaysia tetapi bersyarat

161

19JUN :Kerajaan kini memberi kebenaran kepada warga asing untuk masuk ke negara ini berdasarkan beberapa syarat ditetapkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya pengurusan tertinggi sahaja dibenarkan untuk masuk ke Malaysia tanpa perlu memohon kebenaran Jabatan Imigresen.

“Ekspatriat kategori EP1 atau mempunyai Professional Visit Pass serta Resident Pass Talent yang melibatkan pengurusan tertinggi di sesebuah syarikat di negara kita dibenarkan untuk masuk ke Malaysia.

“Bagaimanapun, mereka tetap perlu menjalani saringan COVID-19 dan ujian swab di negara asal sebelum berlepas ke Malaysia. Jika tidak, mereka perlu melakukannya di pintu masuk Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Ismail menambah, sekiranya ujian saringan tersebut didapati negatif, maka mereka tidak perlu dikuarantin wajib selama 14 hari.

“Bagaimanapun, mereka tidak perlu dikuarantin jika datang dari negara zon hijau namun jika dari negara zon merah, mereka mesti menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, tiada alasan buat warga asing yang visa mereka sudah tamat tempoh untuk tinggal lebih lama di negara ini.

Menurut beliau, dakwaan kononnya warga asing terbabit
tidak boleh memperbaharui visa mereka tidak tepat kerana urusan di Jabatan Imigresen sudah lama dibuka sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kita faham jika sebelum ini mereka tidak boleh memperbaharui visa kerana pejabat Jabatan Imigresen masih ditutup tetapi urusan sudah boleh dilakukan sejak PKPB bermula.

“Malah, sebelum ini saya pernah beritahu bahawa warga asing yang ingin pulang ke negara asal hanya perlu menunjukkan tiket penerbangan mereka di lapangan terbang. Jadi tiada alasan untuk tinggal lebih lama di negara ini,” katanya.- AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.