Beri sokongan, penghormatan kerajaan diterajui Muhyiddin

124

19 JUN: Semua pihak diseru aku kepada sistem politik yang berteraskan kedaulatan Raja-raja, keluhuran perlembagaan dan sistem demokrasi berParlimen di negara ini.

Seruan itu dinyatakan oleh Gabungan 115 ilmuan doktor falsafah (PhD) institusi pengajian tinggi (IPT) yang meminta semua pihak memberi penghormatan dan sokongan kepada kerajaan diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Gabungan ilmuan itu dalam kenyataan di sini mahu semua pihak menghentikan sebarang propaganda dan usaha yang boleh menggugat kestabilan politik demi memastikan kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara terpelihara.

“Kami menyeru semua pihak mengangkat tinggi nilai kemanusiaan dan keagamaan, melaksanakan urus tadbir yang baik serta memastikan kontrak sosial serta peruntukan teras Perlembagaan Persekutuan, khususnya identiti nasional kita yang berlandaskan identiti Melayu-Muslim, dipatuhi pada setiap masa.

“Justeru, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang amat tegas bagi menjaga perpaduan dalam kalangan semua rakyat serta memelihara keamanan dan keharmonian negara, termasuk menguatkuasakan undang-undang sedia ada serta memperkenalkan undang-undang baharu bagi menghukum penggugat kestabilan,” kata gabungan itu.

Gabungan 115 ilmuwan PhD terdiri daripada dua Profesor Emeritus, 21 Profesor, 35 Profesor Madya dan 57 pensyarah kanan.

Antaranya adalah Felo Penyelidik Utama LESTARI-Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo; pakar arkeologi, Prof. Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh serta penganalisis politik dan perundangan, Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek.

Menurut mereka, parti politik yang membentuk kerajaan perlu bergabung secara rasmi di dalam wadah Perikatan Nasional (PN) yang perlu didaftarkan.

Ini kerana tambah mereka, ia bagi membolehkan berfungsi dengan lebih berkesan mencari penyelesaian kepada segala permasalahan rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19. – MOHD. FAIRUZ YUSOF

Get real time updates directly on you device, subscribe now.