Agong zahir ucapan takziah pemergian Malim Ghozali PK

179

19 JUN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tokoh sasterawan, Allahyarham Dr Mohamed Ghazali Abdul Rashid, 71.

Allahyarham yang lebih dikenali dengan nama pena Malim Ghozali PK meninggal dunia semalam selepas menjalani pembedahan membuang tumor di Hospital Serdang, Selangor kira-kira pukul 11.20 pagi.

Seri Paduka bertitah semoga keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu itu.

“Jasa, khidmat serta bakti Allahyarham kepada dunia penulisan sastera Melayu negara amat dihargai dan pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar pada negara,” titah Seri Paduka menerusi kenyataan dalam akaun Facebook Istana Negara, hari ini.

Allahyarham Mohamed Ghazali merupakan penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) pada 2013 dan dinobatkan sebagai Sasterawan Perak pada 2014, selain dikenali di peringkat antarabangsa.

Karya Allahyarham, ‘Tree of Sorrow’ tersenarai antara 160 novel terbaik dunia oleh International IMPAC Dublin Literary Awards.

Allahyarham juga memenangi Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera): Kumpulan Cerpen dan pernah mendeklamasikan puisi di Prague, Republik Czech, memberi syarahan di Hannibal, Amerika Syarikat dan Paris, Perancis.

Sebanyak 22 buku Allahyarham diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris dan juga bahasa Cina. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.