ADB unjur ekonomi Malaysia susut 4%

34

19 JUN: Bank Pembangunan Asia (ADB) mengunjurkan ekonomi Malaysia susut sebanyak 4 peratus pada tahun ini sebelum pulih untuk berkembang sebanyak 6.5 peratus tahun hadapan.

Merujuk kepada Laporan Tambahan Prospek Pembangunan Asia yang dikeluarkan semalam, ADB menyatakan, permintaan luaran negara dijangka lemah berikutan rakan-rakan dagang terus bergelut dengan kesan COVID-19.

“Pertumbuhan di Malaysia merosot kepada hanya 0.7 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2020.

“Memandangkan pandemik COVID-19 telah menjejaskan rantaian bekalan global pada suku pertama, eksport barangan dan perkhidmatan susut 7.1 peratus dan pelaburan turut merosot berikutan pelaburan awam dan swasta, masing-masing turun 11.3 peratus dan 2.3 peratus,” jelas ADB.

Namun, ADB memberitahu, penggunaan kekal sebagai perkara yang baik dalam ekonomi, meninggkat sebanyak 6.5 peratus berikutan penggunaan awam yang kukuh mengimbangi penggunaan swasta yang lemah.

Walau bagaimanapun, dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu untuk memerangi penularan COVID-19, penggunaan domestik dijangka susut pada suku kedua.

Dalam perkembangan berkaitan, ADB menjelaskan, negara-negara Asia Tenggara mencatatkan penurunan dalam penggunaan, pelaburan dan perdagangan berikutan langkah-langkah memerangi COVID-19, manakala semua ekonomi subrantau merosot di bawah sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan untuk membendung pandemik tersebut.

“Ekonomi terbuka Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam terjejas oleh kemerosotan permintaan dan perdagangan global.

“Selain itu, ketibaan pelancong jatuh berikutan sekatan perjalanan yang ketat dan keperluan kepada kuarantin, menjejaskan industri penerbangan, perhotelan dan peruncitan,” katanya.

Walaupun banyak negara di subrantau ini telah mula melonggarkan sekatan, ADB memberitahu, keyakinan pengguna yang rendah boleh menghalang pemulihan ekonomi, manakala permintaan luaran dijangka terus suram sepanjang tahun ini berikutan penguncupan ekonomi global.

Sementara itu, laporan tersebut menyatakan Malaysia dijangka mencatatkan deflasi sebanyak 1.5 peratus pada 2020 berikutan harga minyak yang dijangka kekal rendah, sebelum kembali kepada inflasi sebanyak 2.5 peratus pada tahun depan.

“Unjuran inflasi untuk Asia Tenggara disemak semula kepada 1 peratus pada 2020 dan diselaraskan kepada 2.3 peratus pada 2021,” kata ADB.

ADB menambah, harga minyak global telah menyebabkan harga bahan api dan tenaga domestik merosot, terutamanya di Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam, berikutan kejatuhan kos pengangkutan disebabkan penurunan harga petrol.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.