8,000 ahli PKR Sabah keluar parti, kecewa dengan pimpinan

4,208

19 JUN: Kecewa dengan kemelut melanda PKR, lebih 8,000 pemimpin dan ahli mengisytiharkan keluar parti selain hilang kepercayaan terhadap pimpinan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew.

Bekas Pengarah Tugas-Tugas Khas PKR Sabah yang mengetuai kumpulan terbabit, Datuk Nani Sakam berkata, Pengerusi PKR Sabah itu gagal menjalankan amanah majoriti ahli parti menyebabkan PKR sudah tiada tempat dan sokongan di hati rakyat Sabah.

“Sebelum ini, kami sebagai ahli jawatankuasa (AJK) di peringkat kawasan hanya bersabar dan cuba menutup kelemahan parti pada rakyat bagaimanapun, keadaan parti ini semakin parah.

“Ketika mereka (PH) masih menjadi kerajaan dahulu selama dua tahun pun, tiada apa yang dilakukan oleh parti di peringkat akar umbi,” katanya kepada PNBBC ketika dihubungi, hari ini.

Nani dan beberapa ahli turut membuat sidang akhbar pengumuman rasmi ahli-ahli PKR keluar parti secara beramai-ramai yang akan diadakan di Putatan, hari ini.

Nani menambah, turut mengumumkan keluar parti hari ini membabitkan mereka yang memegang jawatan dalam parti termasuk timbalan dan naib ketua PKR cabang, Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan ahli jawatan kuasa cabang daerah.

Sementara itu, Nani memberitahu tindakan mereka juga dilakukan untuk memastikan kelangsungan pembangunan di kawasan masing-masing.

“Setakat ini ada sebahagian dari kami dah menyertai parti lain namun sebahagian besar kami masih lagi bebas dan tidak terikat kepada mana-mana parti.

“Namun, kami akan sentiasa memberi sokongan penuh kepada kerajaan negeri mahupun Pusat demi pembangunan rakyat di Sabah,” katanya. – AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.