4.6 juta rakyat Malaysia hidapi anemia

100

19 JUN: Satu daripada lima rakyat Malaysia dikesan menghidapi penyakit anemia.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan berkata, statistik menunjukkan secara keseluruhannya, 21.3 peratus atau 4.6 juta orang daripada populasi rakyat Malaysia sekarang mengalami anemia.

Menurut kenyataan berkenaan di Malaysia penyakit anemia secara amnya lebih cenderung pada wanita etnik India dengan 39.8 peratus daripada keseluruhan kes.

Katanya, jika statistik dikira mengikut negeri, maka kadar anemia di Kelantan adalah tertinggi iaitu 27.2 peratus daripada populasi keseluruhan penduduknya.

Tambahnya, bahaya anemia kepada kesihatan wanita antaranya meningkatkan risiko keguguran dan kelahiran bayi pramatang.

“Penyakit Sel Sabit atau lebih dikenali sebagai Anemia Sel Sabit adalah penyakit melibatkan bentuk sel darah yang abnormal iaitu berbentuk sabit atau ‘C’.

“Sel darah yang sihat adalah berbentuk bulat dwi-cengkung dan bergerak membawa oksigen keseluruh badan melalui salur darah. Namun bagi pesakit Anemia Sel Sabit, sel darah merah menjadi keras dan melekit serta sel cepat mati.

“Jadi pesakit akan selalu kekurangan darah (anemia). Keadaan sel yang keras dan melekit boleh menyebabkan sel darah bergumpal dan menyebabkan sumbatan salur darah yang mampu menyebabkan masalah serius yang lain seperti jangkitan atau strok,” kata kementerian itu sempena Hari Sel Sabit Sedunia Hari ini.

Tujuan utama sambutan berkenaan adalah meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap penyakit ini yang dianggap masalah kesihatan awam dan sebagai penyakit genetik yang paling utama di dunia.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.