Utamakan wakil rakyat jaga kepentingan Islam

200

18 JUN: Umat Islam di Malaysia perlu sentiasa bersatu padu, mengeratkan perpaduan dan bekerjasama antara satu sama lain bagi kepentingan serta kedudukan agama Islam terus terjamin selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Berikutan itu, semua pemimpin politik serta umat Islam perlu membuat pilihan bijak dan tepat dalam memilih mana-mana calon yang mereka akan undi nanti.

Tindakan itu perlu bagi memastikan agama Allah dan umat Islam mendapat tempat serta pembelaan sewajarnya di Malaysia selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 1963.

Bagaimanapun, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, pengisian perpaduan dan permuafakatan umat Islam dan orang Melayu berkenaan tidak seharusnya menjadi alat untuk menjaga kepentingan serta mencari kekayaan peribadi seseorang individu atau golongan tertentu.

“Kita tidak boleh menjadikan perpaduan ummah dan kerjasama orang Melayu Islam dalam PRU-15 nanti sebagai alat menyelamatkan mana-mana individu yang terbabit salah laku jenayah atau membolehkan mereka memiliki kuasa mengawal serta membolot segala khazanah kekayaan negara demi kepentingan diri sendiri atau golongan tertentu sahaja.

“Semua pemimpin dan penyokong politik Muslim di negara ini perlu meletakkan kepentingan agama dan umat Islam serta bangsa Melayu sebagai asas penjuangan mereka di negara ini,” katanya ketika dihubungi PNBBC portal sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Aminuddin juga melahirkan kebimbangan perpaduan dan kerjasama antara parti politik dikuasai umat Islam seperti Pas dan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) serta Bersatu yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan menjadi rapuh sekiranya asas penjuang mereka tidak selari.

“Sebagai contoh seperti sekarang kerajaan PN yang memerintah sekarang hanya memiliki majoriti mudah di Dewan Rakyat, jadi jika ada sedikit salah faham atau perbalahan maka tidak mustahil ia akan runtuh kerana asas perjuangan mereka berbeza.

“Jadi isu sekarang ini kita bukan hanya mahu calon wakil rakyat Melayu Islam menguasai kebanyakan kerusi Parlimen pada PRU-15 dan mempertahankan kuasa semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, beliau bersetuju dengan cadangan sebahagian pemimpin Pas dan UMNO supaya kerajaan mengadakan PRU-15 dalam masa terdekat bagi membolehkan pengundi memilih semula wakil rakyat yang berwibawa dan mengembalikan kestabilan politik di Malaysia.

“Kerajaan sekarang ini tidak begitu stabil kerana perbezaan kerusi blok pro kerajaan dan pembangkang tidak banyak hanya dua atau tiga kerusi serta bila-bila masa boleh bertukar kerana ramai ahli Parlimen suka melompat parti demi kepentingan diri dan tawaran lumayan.

“Ahli Parlimen kita juga manusia… kalau ada orang tawarkan wang tunai RM10 juta ke RM15 juta mesti ada yang rambang mata dan tergoda berbanding elaun wakil rakyat hanya kira-kira RM16,000 sebulan,” katanya.- HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.