Takut kalah teruk, PH mungkin tak bertanding di Chini

109

18 JUN: Pakatan Harapan (PH) mungkin tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini kerana mereka takut kalah teruk.

Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang, Mohd Yazid Mohd Yunus berpandangan, mereka mungkin tidak mahu kehilangan wang deposit.

“Kalau Parti Amanah Negara nak hantar calon, memang tiada calon manakala PKR pula dah asyik kalah teruk selama beberapa penggal.

“Mungkin mereka tahu mereka kalah, jadi mereka tak mahu rugi wang deposit,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.

MOHD YAZID
MOHD YAZID

Beliau yang juga merupakan Ketua Bersatu Bahagian Paya Besar komited akan membantu bagi memastikan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain memenangi PRK tersebut.

Menurut Mohd Yazid, demi kesepakatan dalam Perikatan Nasional (PN), Bersatu Pahang akan berusaha agar calon BN meraih kejayaan tersebut.

Malah, beliau memberitahu, pihaknya telah membentuk jentera yang akan membantu kemenangan calon PN.

Walaupun terdapat kekangan untuk berkempen, Mohd Yazid berkata, pihaknya akan sentiasa bersama melakukan gerak kerja berkempen bersama parti komponen PN.

“PRK kali ini agak berbeza sedikit kerana kita perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) akan diguna pakai sepanjang berkempen memandangkan situasi COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa.

“Kita pun belum lagi memulakan kempen dan mungkin kali ini kita tidak agresif tetapi kita akan lakukan yang terbaik demi memastikan PN mencapai kemenangan di DUN Chini,” katanya.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Jun ini sebagai hari penamaan calon, dan 4 Julai sebagai hari mengundi. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.