Syed Saddiq dipanggil ke Bukit Aman

2,725

18 JUN: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman bagi membantu siasatan polis berhubung temu bualnya bersama stesen televisyen antarabangsa Al-Jazeera, pada 6 Mac lalu.

Ahli Parlimen Muar berkenaan dalam ciapan menerusi akaun Twitter miliknya berkata, beliau dimaklumkan siasatan terhadapnya akan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana kesalahan menghasut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penyebaran berita dan kandungan palsu).

“Saya telah dipanggil oleh Bukit Aman untuk memberi keterangan siasatan bagi temubual saya bersama Mehdi Hasan. Temubual ini untuk siaran Al Jazeera pada 6 Mac 2020 (hampir empat bulan lepas).

“Saya dimaklumkan ia (siasatan dilakukan) di bawah Sekyen 4(1) Akta Hasutan serta S.233 Akta Komunikasi & Multimedia,” katanya dalam ciapan terbaharu menerusi akaun Twitter miliknya sebentar tadi.

Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan memperuntukan mana-mana orang yang melakukan atau cuba melakukan, atau membuat apa-apa persediaan untuk melakukan, atau berkomplot dengan mana-mana orang untuk melakukan apa-apa perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut atau jika dilakukan, akan mempunyai kecenderungan menghasut, melakukan suatu kesalahan.

Jika disabitkan bersalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 mana-mana individu boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Manakala, penciptaan atau penyebaran berita dan kandungan palsu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 AKM 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia.

“Kita akan panggil bekas menteri itu ke Bukit Aman, pukul 2.30 petang tadi hari ini.

“Syed Saddiq akan disiasat mengikut akta hasutan dan komunikasi multimedia,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi. – HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.