Sindiket PATI: 18 termasuk pegawai polis, ATM ditahan

154

18 JUN: Tindakan pegawai dan anggota penguat kuasa termasuk anggota polis dan tentera bersengkongkol dengan sindiket pendatang asing tanpa izin (PATI) terbongkar apabila ditahan polis Johor hari ini.

Kecekapan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Johor itu berjaya menahan 18 penguat kuasa termasuk pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain anggota tentera yang terlibat dalam sindiket jenayah terancang PATI di negeri itu sejak 2017.

Kesemua suspek tersebut membabitkan pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan di sebuah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di Johor; seorang anggota pangkat rendah Polis Marin Wilayah Dua, Tampoi; dua anggota pangkat rendah bertugas di Bukit Aman dan sembilan anggota pangkat rendah bertugas di IPD Kota Tinggi.

Selain itu, dua pegawai ATM dan tiga anggota ATM lain-lain pangkat turut ditahan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kejayaan itu hasil daripada susulan tangkapan 40 suspek sindiket penyeludupan PATI dalam operasi pada 4 Jun lalu.

Menurut beliau, hasil maklumat yang diperoleh, JSJ Johor melancarkan operasi susulan pada Isnin hingga awal pagi tadi dan menahan kesemua suspek tersebut termasuk seorang pegawai kanan polis di negeri ini.

Beliau menambah, siasatan awal mendapati suspek bersengkongkol dengan sindiket penyeludupan PATI dalam menyalurkan maklumat termasuk operasi dijalankan pihak berkuasa negara ini sekali gus menjadi dalang kebocoran maklumat dalaman.

“Polis percaya ada beberapa sindiket penyeludupan yang menjadi dalang kepada pengkhianat ini dan mereka bukan terbabit dalam sindiket sama.

“Kita juga tidak akan bertolak ansur dan melindungi mana-mana pegawai dan agensi penguatkuasa sekiranya terbukti mereka benar-benar terbabit dalam sindiket penyeludupan PATI,” katanya seperti dipetik BH hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu ejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Khaw Kok Chin.

Ayob Khan menambah, suspek dipercayai menerima imbuhan sangat lumayan iaitu sehingga RM10,000 setiap transaksi penyeludupan PATI malah turut dikesan terbabit dalam penyeludupan dadah.

“Hasil siasatan mendapati bayaran dibuat dalam bentuk tunai bagi menghilangkan jejak wang jika ia dilakukan menerusi transaksi perbankan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang menumpukan siasatan sindiket penyeludupan yang mendalangi kegiatan anggota penguat kuasa yang ditahan selain menyasarkan operasi di kawasan Pantai Barat Johor.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kesemua suspek berusia 24 hingga 41 tahun dan akan disiasat di bawah Seksyen 130V hingga Seksyen 130ZB BAB VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.