Rakyat bosan DAP ratib siapa calon PM setiap hari

80

18 JUN: DAP seharusnya menumpukan kepada khidmat menjaga kebajikan rakyat terlebih dahulu dan bukannya berteka-teki setiap hari memikirkan siapa yang bakal menjadi calon Perdana Menteri Pakatan Harapan Plus (PH Plus).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, rakyat kini muak dengan perbincangan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Tun Dr Mahathir Mohamad bakal Perdana Menteri kerana ia tidak membawa sebarang manfaat kepada mereka.

“DAP fokuslah untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukan berpolitik sahaja sepanjang masa dengan meratib siapa bakal Perdana Menteri setiap hari. Rakyat sudah bosan.

“Jangan buang masa rakyat dengan kepentingan peribadi mahupun parti kamu,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman rasmi Facebooknya, hari ini.

Mohd Razlan yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh tidak pelik jika DAP mencadangkan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri.

Menurut beliau, Dr Mahathir sejak kebelakangan ini dilihat sering memuji dan mempertahankan DAP jika parti itu diserang oleh Perikatan Nasional (PN).

“DAP yang mahu Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga tidak lain dan tidak bukan hanyalah sebagai wayang politik untuk menarik sokongan Melayu kepada PH Plus.

“DAP tahu Amanah dan PKR sudah tidak berdaya lagi menarik sokongan orang Melayu dan atas sebab itu mereka masih mahu Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri.

“Meskipun ramai tahu DAP terlalu kemaruk kuasa tetapi janganlah sampai gadaikan prinsip dengan bersetuju akan cara jijik untuk ‘memiliki’ lebih ramai Ahli Parlimen dari PN dengan cara tidak bermaruah,”katanya.

Namun, Mohd Razlan menambah, cadangan pelantikan tersebut masih tidak mendapat persetujuan Anwar walaupun Parti Amanah Negara, DAP dan Parti Warisan Sabah (Warisan) bersetuju menamakan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri.

“Sudah tentu Anwar tidak mahu diperdaya lagi setelah beberapa kali terkandas untuk menggapai cita-citanya. Perkara ini amat mendukacitakan banyak pihak.

“Ibarat belum sempat menikmati kemahsyuran dan diangkat menjadi pengganti Tun Mahathir untuk kali kedua, tiba-tiba Tun Mahathir meletakkan jawatan tanpa berbincang dengan mana-mana parti komponen PH terlebih dahulu,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.