PN lakukan terbaik lindungi rakyat hadapi COVID-19

514

18 JUN: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah melakukan yang terbaik untuk melindungi rakyat ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19 yang turut dilanda di seluruh dunia.

Kerajaan PN dibawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil tindakan bijak dan tepat dengan meletakkan kepentingan rakyat lebih daripada segalanya ketika mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Putrajaya, Datuk Seri Erwan Tahir berkata,tindakan berani Perdana Menteri itu menutup sektor ekonomi bagi memutuskan rantaian COVID-19 kerana tidak mahu melihat lebih ramai rakyat dijangkiti wabak itu.

“Menjadi Perdana Menteri ketika sedang berlakunya pandemik COVID-19 bukanlah satu tugas mudah.

“Beliau mengambil tindakan itu kerana tidak mahu melihat lebih ramai rakyat dijangkiti wabak tersebut. Kini negara melalui proses pemulihan dan rakyat dilihat mula menerima norma baharu dalam menjalani kehidupan,” katanya kepada PNBBC portal hari ini.

ERWAN TAHIR

Erwan menambah, Pakej Rangsangan Ekonomi PENJANA yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini merupakan manifestasi sebenar kerajaan menjaga rakyat.

Katanya, apa yang dilakukan oleh kerajaan itu demi melihat negara dan rakyat kembali bangkit dalam mengharungi cabaran ekonomi dunia ketika ini.

Mengenai kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap kerajaan PN, beliau percaya Muhyiddin bersama barisan Kabinetnya bersikap terbuka kerana Malaysia adalah sebuah negara demokrasi.

Beliau berkata, Malaysia bukan sebuah negara junta yang tidak boleh menerima kritikan lebih-lebih lagi daripada seorang negarawan yang banyak berjasa dan menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali.

“Namun kerajaan sedia ada sekarang adalah sebuah kerajaan paling terserlah dalam usaha membantu rakyat.

“Kita patut berterima kasih kepada Perdana Menteri dalam segala usaha yang diberikan beliau untuk kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Beliau menyeru semua pihak memberikan sokongan kepada Perdana Menteri memimpin negara dan pasti Malaysia akan lebih gemilang dengan pentadbiran kerajaan ketika ini. – MOHD. FAIRUZ YUSOF

Get real time updates directly on you device, subscribe now.