Pendakwaan pinda pertuduhan kes bon 1MDB Goldman Sachs

48

18 JUN: Pihak pendakwaan bagi kes melibatkan Goldman Sachs International Ltd., yang berpangkalan di United Kingdom dan entitinya di Asia, Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapura) yang menghadapi pertuduhan berhubung penjualan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM27.2 bilion (As$6.5 bilion) akan melampirkan beberapa pindaan dalam kertas pertuduhan.

Menurut laporan BERNAMA, Timbalan Pendakwaraya, Manoj Kurup memberitahu pemberita, pindaan itu adalah berkenaan dengan tanggungjawab.

“Menurut peguam berkenaan, pindaan berkenaan adalah cukup besar, jadi mereka perlukan masa untuk mendapatkan arahan.

“Kita juga perlukan masa menyediakan pindaan pertuduhan terhadap pihak yang berada di luar negara memandangkan kita menutup sempadan negara sehingga 31 Ogos (kerana Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan).

“Mahkamah menetapkan 4 September untuk melanjutkan kes pengurusan, jadi pada hari berkenaan kita akan meletakkan beberapa pindaan terhadap pertuduhan yang sedia ada,” katanya selepas kes pengurusan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan di kamarnya hari ini.

Barisan peguam Hisyam Teh Poh Teik, Krishna Dallumah, Datuk Prem Ramachandran dan Chetan Jethawani mewakili Goldman Sachs.

Pada 24 Februari lalu, Goldman Sachs menerusi wakilnya, Ng Keng Leong mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan di hadapan Hakim Mohamed Zaini.

Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula 9 November ini.

Pada Disember 2018, Malaysia mengemukakan empat pertuduhan ke atas tiga entiti berkenaan kerana didakwa meninggalkan fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak syarikat 1MDB dan Aabar Investment PJS Ltd. (Aabar).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di 1MDB, Aras 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail, di sini antara 19 Mac, 2012 hingga 11 November, 2013.

Syarikat itu dituduh di bawah Seksyen 179 (c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 182 Akta yang sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara untuk satu tempoh tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menganggarkan kira-kira AS$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 hingga 2014.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.