Pas alukan tindakan PDRM siasat Siti Kassim

136

18 JUN: Pas menghargai tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap peguam kontroversi, Siti Kassim berhubung desakannya supaya sekolah tahfiz diharamkan di negara ini.

Menyifatkan tindakan itu tepat pada masanya, Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, parti itu berharap perkara yang mengancam kesucian dan kedudukan Islam sebagaimana dijamin dalam Perlembagaan negara perlu ditangani dengan pantas dan berkesan.

“Sebagai anggota masyarakat prihatin, tiada ruang kompromi sepatutnya diberikan mana-mana pihak yang cuba mencetuskan keadaan tidak harmoni dalam negara.

“Semoga kesucian agama Islam terus terpelihara dengan lahirnya ramai generasi al-Quran yang baik melalui institusi tahfiz. Semoga keharmonian kaum yang diamalkan masyarakat Malaysia terus berkekalan dengan berpandukan Perlembagaan negara,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Sebelum ini, media melaporkan polis menerima 113 laporan di seluruh negara setakat ini berhubung kenyataan dimuat naik aktivis dan peguam, Siti Zabedah Kassim atau lebih dikenali sebagai Siti Kassim, dalam akaun Facebook miliknya baru-baru ini.

Justeru, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dalam satu kenyataan mengesahkan Siti Kassim akan dipanggil ke Bukit Aman untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Pada 27 Mei lalu, satu siasatan dimulakan ke atas pemilik akaun Facebook ‘Siti Kassim’ kerana kenyataan didakwa membangkitkan pecah keamanan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

“Ia masing-masing kerana sengaja mengaibkan dengan niat boleh membangkitkan pecah keamanan, dan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. – HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.