Mujahid mesti perjelas isu jual aset TH – Najib

1,248

18 JUN: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof diminta memberi penjelasan berhubungan penjualan aset milik Lembaga Tabung Haji (TH) dalam Tabung Haji Haji Hotel & Residences Sdn Bhd (THHR) kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Mujahid pernah menyatakan bahawa beliau tidak terlibat dalam perkara tersebut.

Namun, merujuk kepada gambar salinan surat bertarikh 3 Disember 2019 yang dikongsi oleh Najib dalam laman Facebook miliknya hari ini, TH menjelaskan: “Dimaklumkan bahawa kami telah menerima kelulusan YB Menteri untuk mengetepikan hak penolakan pertama bagi TH untuk membeli balik 18 hartanah tersebut, i.e., kecuali PROP 18 yang terletak di Jalan Hill, Seremban, Negeri Sembilan.”

Sehubungan itu, Najib secara sinis berharap Mujahid ‘tai chi’ maklumat yang terkandung dalam surat tersebut.

“Siapakah ‘YB Menteri’ yang dimaksudkan dalam surat ini?

“Dulu kekanda bukan kata kamu tak campur hal Tabung Haji walaupun kamu dulu Menteri jaga Tabung Haji? Tai chi lah selagi boleh,” katanya.

Berdasarkan surat tersebut, beliau membuat tiga kesimpulan bahawa TH telah bersetuju:

  1. Bahawa Kementerian Kewangan ambil alih semua hotel-hotel TH.
  2. TH jual segala perabot dan kelengkapan (termasuk air con, katil, perhiasan dan sebagainya) milik hotel-hotel TH kepada Kementerian kewangan dengan harga RM10,000.
  3. TH tiada halangan untuk 18 lot hartanah milik TH dijual oleh Kementerian Kewangan melalui lelong.

Isu penjualan aset TH yang berlaku kira-kira dua bulan sebelum kerajaan PH tumbang telah mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.