Muhyiddin mohon batal saman Tun M cabar keahlian terhenti

366

18 JUN: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dua lagi memohon untuk membatalkan saman Tun Dr Mahathir Mohamad dan lima individu lain bagi mencabar pemberhentian keahlian mereka.

Memetik laporan Free Malaysia Today, peguam mereka, Rosli Dahlan berkata mereka memohon untuk membatalkan tuntutan yang menurut mereka semberono, menyakitkan hati, dan menyalahguna proses mahkamah.

Beliau menambah pihak pembelaan hanya menerima salinan tuntutan dan permohonan injunksi itu semalam.

“Pihak pembelaan tidak perlu memfailkan kenyataan pembelaan sementara menunggu permohonan pembatalan kami ini dibicarakan, serta permohonan Dr Mahathir yang memohon injunksi pada 9 Julai,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi selepas sebutan kes hari ini.

Beliau berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), yang diwakili peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambali, juga akan memohon membatalkan tuntutan itu.

Setakat hari ini, katanya, mahkamah belum mengenakan injunksi atau perintah injunksi sementara terhadap mereka.

“Masih status quo setakat hari ini, iaitu mereka bukan ahli parti kerana tindakan sendiri yang mencetuskan Perkara 10.2.2, 10.2.3, dan 10.2.6 perlembagaan Bersatu,” katanya.

Menurut peruntukan itu, katanya, seseorang itu bukan lagi ahli PPBM jika mereka menyertai parti politik lain, keluar parti, atau memfailkan tindakan undang-undang terhadap parti di mahkamah.

Peguam Dr Mahathir dan lima individu lain, Haniff Khatri Abdullah berkata mereka memohon injunksi sementara sementara menunggu perbicaraan pada Julai.

Walau bagaimanapun, permohonan itu ditolak Hakim Mahkamah Tinggi, Rohani Ismail.

“Memandangkan ini permohonan injunksi yang penting, mahkamah membenarkan defendan memfailkan afidavit dan penghujahan mereka,” katanya.

Dalam penyata tuntutan mereka, Dr Mahathir, anaknya Datuk Seri Mukhriz, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik, Datuk Amiruddin Hamzah, dan Datuk Marzuki Yahya berkata keputusan untuk memberhentikan keahlian mereka tidak sah kerana Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya tiada kuasa untuk menyingkir mereka dari Bersatu.

Beliau juga berkata kedudukan Suhaimi itu tidak diiktiraf perlembagaan parti.

Mereka juga mempertikaikan penggunaan Perkara 10.2.2 dan 10.2.3 terhadap mereka, mengatakan peruntukan itu hanya menyatakan keahlian terlucut jika ahli berkenaan menyertai parti politik lain atau keluar Bersatu.

Mereka berenam mahu keahlian mereka dikembalikan serta membatalkan keahlian Muhyiddin, Suhaimi, dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin atas alasan mereka menyertai Perikatan Nasional (PN).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.