Tarikh sebenar sesi pengajian di IPTA, IPTS diumum Jumaat ini

88

17 JUN: Kerajaan akan mengumumkan tarikh sebenar pelajar yang menuntut di sekolah antarabangsa, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) kembali mengikuti pengajian dalam masa terdekat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu perlu selepas kerajaan menerima pelbagai pertanyaan daripada pengurusan sekolah antarabangsa, IPTA dan IPTs yang ingin tahun bilakah pelajar asing dibenarkan kembali ke Malaysia untuk meneruskan pembelajaran masing-masing.

Berikutan itu, Ismail Sabri menambah, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat khas COVID-19 membabitkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Majlis Keselamatan Negera (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya, esok.

“Insya-Allah, kita akan bincangkan bila tarikh sebenar kebenaran itu diberikan bersama prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi dalam mesyuarat khas esok, sebelum mengumumkannya dalam sidang akhbar Jumaat ini,” katanya dalam sidang akhbar khas mengenai perkembangan COVID-19 sebentar tadi.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri juga menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa ramai dalam kalangan kanak-kanak di negara ini mengalami kemurungan dan hidup tertekan kerana tidak dibenarkan keluar dari rumah.

Ismail Sabri berkata dakwaan itu tidak berasas kerana kerajaan sudah membenarkan lama membenarkan ibu bapa membawa kanak-kanak keluar bersiar-siar ke taman permainan, pasar raya atau restoran dengan syarat mereka perlu mengikuti SOP ditetapkan termasuk menjaga jarak sosial.

“Sekarang kerajaan sudah membenarkan kanak-kanak keluar bermain di tanam permainan dengan syarat jangan berhimpun beramai-ramai dan sentiasa menjaga jarak sosial serta kebersihan diri.

“Kita juga menasihatkan ibu bapa kalau boleh jangan membawa kanak-kanak ke pusat beli belah kerana mereka adalah golongan berisiko tinggi terkena jangkitan penyakit termasuk COVID-19,” katanya.

Ditanya mengenai bilakah kerajaan akan membenarkan panggung wayang kembali beroperasi Ismail Sabri berkata, setakat ini belum ada cadangan untuk berbuat demikian dalam masa terdekat. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.