Sesi Temuduga Bersemuka Dibenarkan

106

17 JUN: Semua kementerian dan agensi kerajaan serta swasta akan dibenarkan menjalankan sesi temu duga pengambilan pekerja secara bersemuka dalam masa terdekat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat khas mengenai COVID-19 disertai pelbagai agensi kerajaan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Berikutan itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan mengarahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bersesuai dengan proses temu duga secara bersemuka berkenaan.

“Apabila siap kelak SPA akan mengemukakan cadangan SOP berkenaan kepada MKN, KKM dan Jabatan Perdana Menteri (JPM), sebelum diguna pakai dalam proses temu duga bersemuka oleh semua kementerian dan agensi kerajaan lain.

“Jadi, tidak perlu lagi temu duga di dalam talian, ini termasuk juga kepada pihak swasta,” katanya pada sidang akhbar khas sempena hari kelapan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat khas berkenaan juga bersetuju membenarkan penganjuran mesyuarat, seminar,
bengkel, kursus, latihan serta persidangan oleh pihak kerajaan dan swasta.

Bagaimanapun, beliau menambah, kebenaran itu tertakluk kepada SOP ditetapkan termasuk jumlah maksimum peserta ialah 250 orang bergantung kepada kapasiti ruang penganjuran dan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter.

Katanya, semua peserta juga perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengimbas kod QR atau mendaftar secara manual sewaktu proses pendaftaran kursus terbabit diadakan.

“Penganjuran majlis di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan adalah tidak dibenarkan, selain pesakit bawah siasatan (PUI) dan pesakit bawah pemantauan (PUS) tidak dibenarkan mengikut sebarang kursus, seminar atau mesyuarat terbabit,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.