Saksi sahkan pembelian banglo untuk sekolah agama

362

17 JUN: Seorang ahli perniagaan, Datuk Eric Leong Chong Long, mengesahkan bahawa pembelian dua buah banglo di Country Heights, Kajang oleh adik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah untuk pembinaan sekolah agama.

Eric, 52, ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes membabitkan Ahmad Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berkata, sebaik sahaja mengetahui tujuan pembelian dua lot banglo itu untuk mendirikan sekolah agama, beliau mengambil keputusan tidak mahu terlibat dengan penjualan itu dan tidak akan mengambil komisen.

Beliau yang juga saksi ke-66 perbicaraan, mencadangkan supaya Datuk Nasaie Hamidi (pembeli) berurusan terus dengan Encik Matahari, yang menurutnya ialah anak kepada Tan Sri Lee Kim Yew.

Eric berkata, sepanjang pengetahuannya, lokasi dua lot banglo yang dibeli oleh Nasaie adalah bagi pihak Yayasan Al Falah.

Menurut beliau, Nasaie adalah jirannya yang dikenali selama lapan tahun manakala Kim Yew pula dikenalinya lebih lama.

“Saya telah lama mengenali Tan Sri Lee Kim Yew iaitu pengarah syarilat Bee Garden Holdings Sdn Bhd yang juga tuan punya banglo di Country Heights. Saya mula rapat dengan Tan Sri Lee pada tahun 2015.

“Datuk Nasaie iaitu adik kepada Datuk Seri Zahid Hamidi pula saya kenali kerana dia adalah jiran saya di mana saya telah mula tinggal di Country Height pada tahun 2014. Semasa saya berpindah ke Country Height, Datuk Nasaie telah dulu tinggal di Country Height.

“Datuk Seri Zahid pula mula saya kenal apabila Datuk Nasaie membawa saya berjumpa dengan Datuk Seri Zahid di “Open House” Hari Raya’ beliau,” katanya.

Sementara itu, saksi ke-66, Faisalludin Mohamat Yusuff memberitahu mahkamah, beliau mula mengenali Datuk Nasaie pada tahun 2004 semasa bekerja di Tetuan Ariffin Raj Desilva di mana pada masa itu untuk menguruskan surat kuasa mentadbir bagi harta pusaka isteri pertama beliau yang telah meninggal dunia.

Beliau mengenali Ahmad Zahid kerana beliau merupakan Ahli Parlimen di kampungnya dan juga abang kepada Pengerusi Yayasan Al-Falah, iaitu Datuk Nasaie.

Menurut Faisalludin, pada tahun 2014 Nasaie meminta bantuannya untuk menubuhkan sebuah yayasan badan bukan kerajaan iaitu Yayasan Al-Falah atas permintaan arwah ayahnya, iaituHamidi @ Haji Ahmad Tarmidzi Bin Radin Haji Abdul Fateh.

Menurutnya, objektif penubuhan yayasan itu adalah untuk mengembangkan agama Islam selain melakukan kerja-kerja amal jariah, ekonomi, pendidikan, sosial, khairat dan kebajikan dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

Katanya lagi, Yayasan Al-Falah juga berperanan sebagai memberi bantuan kewangan dan lain-lain golongan fakir miskin, orang miskin dan tidak berkemampuan, ibu tunggal, anak-anak yatim dan mereka yang ditimpa musibah dan bala bencana.

Selain itu, yayasan tersebut juga memberi bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah agama Islam dan madrasah-madrasah Islam.- Oleh NOOR HASILAH ISMAIL

Get real time updates directly on you device, subscribe now.