PRK DUN Chini: Bersatu beri laluan kepada BN

210

17 JUN: Demi mencapai muafakat dalam Perikatan Nasional (PN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang akan dijalankan 4 Julai ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan itu dibuat untuk memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon yang akan diputuskan oleh Barisan Nasional (BN) bagi mewakili PN.

“Seluruh jentera Bersatu akan digerakkan untuk memastikan kemenangan wakil Perikatan Nasional dalam PRK tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PRK DUN Chini diadakan susulan penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun meninggal dunia akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon diadakan pada 20 Jun ini manakala hari mengundi awal 30 Jun manakala hari pengundian 4 Julai ini.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, Allahyarham Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, manakala calon Pas, Mohd. Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065).

Selain itu, sebanyak lapan borang pencalonan diterima oleh SPR Pahang yang menyaksikan empat borang dihantar calon BN manakala empat lagi daripada calon bebas. – MOHD. FAIRUZ YUSOF

Get real time updates directly on you device, subscribe now.